Nuklear dipertimbangkan sebagai sumber tenaga negara
KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga negara pada masa depan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha dalam mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
"Kemajuan teknologi telah menjadikan tenaga nuklear lebih sesuai untuk Malaysia dengan inovasi baharu seperti Reaktor Modular Kecil (SMR) yang membolehkan loji nuklear lebih kecil, selamat dan kos efektif.
"Ciri-ciri teknologi baharu seperti ini boleh digunakan di kawasan di mana sumber tenaga konvensional tidak sesuai dari aspek aplikasi dan kos. Kemajuan teknologi tenaga nuklear kini memiliki kelebihan dari segi keselamatan terutama melalui kemajuan dalam pengurusan sisa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Isnin.
Lih Kang berkata, reaktor moden menghasilkan sisa radioaktif lebih sedikit dengan memanfaatkan bahan bakar yang lebih efisien, manakala dari segi kos operasi dalam jangka masa panjang, tenaga nuklear menawarkan kestabilan terutama dari segi harga bahan api.
Beliau berkata, tenaga nuklear turut mempunyai kecekapan tenaga tinggi iaitu memerlukan bahan bakar yang sangat sedikit seperti uranium, tetapi mampu menghasilkan jumlah tenaga besar sehingga jauh lebih efisien daripada bahan api fosil.
Selain itu, beliau berkata, MOSTI sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap pembangunan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) boleh memainkan peranan dalam menyediakan kepakaran melalui program latihan.
Lih Kang berkata, Agensi Nuklear Malaysia mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran di dalam mengendali dan menyenggara reaktor penyelidikan nuklear iaitu Reaktor TRIGA PUSPATI selama lebih 40 tahun yang boleh diaplikasikan ke dalam program tenaga nuklear sekiranya dilaksanakan pada masa akan datang.
"Seiring dengan itu, kerajaan sentiasa menjalankan kempen kesedaran awam seperti program pendidikan, lawatan pakar, dialog dan forum awam bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan nuklear.
"Agensi Nuklear Malaysia sedang bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan untuk melaksanakan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) teknologi nuklear di seluruh negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!