KDN FC bayar gaji kakitangan sokongan esok
KELAB bola sepak Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) akan membuat pembayaran gaji kepada kakitangan sokongan pasukan itu pada Selasa.
Ketua Pegawai Operasinya, Mohd Zuki Deraman berkata, ia melibatkan bayaran selama satu bulan.
"Saya ingin jelaskan di sini, ada sedikit kekeliruan atau salah faham berkenaan jumlah bulan gaji yang tertunggak. Gaji tertunggak untuk musim ini hanya dua bulan.
"Baki empat bulan lagi itu sebenarnya melibatkan musim lalu. Untuk musim ini gaji dibayar seperti biasa cuma berlaku kelewatan untuk dua bulan terakhir ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurut beliau, pengurusan ketika ini sedang berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan penyelesaian terbaik, termasuk meneroka pelbagai pilihan bagi memperbaiki keadaan kewangan semasa.
Ujarnya, langkah itu bertujuan memastikan pembayaran gaji dapat diselesaikan secepat mungkin.
Mohd Zuki memberitahu, pihak pengurusan juga akan mengadakan satu lagi mesyuarat bersama kakitangan untuk membincangkan perkembangan terkini dan langkah-langkah yang sedang diambil.
"Kami komited untuk bersikap telus dalam proses ini dan akan memastikan komunikasi berterusan dengan semua kakitangan.
"Pihak pengurusan mengucapkan terima kasih kepada kakitangan yang masih sanggup meneruskan kerja bersama kelab pada musim ini walaupun baki musim lepas tidak dibayar pada waktu itu," katanya yang berharap dapat mengatasi cabaran ini bersama dan mencapai penyelesaian terbaik demi kesejahteraan semua pihak.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, kakitangan sokongan pasukan KDN FC terpaksa 'menebalkan' muka untuk meminjam wang bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas mendakwa gaji mereka tidak dibayar sejak tujuh bulan lalu.
Sumber mendakwa, walaupun tindakan itu amat memalukan, mereka tidak mempunyai pilihan kerana situasi semakin mendesak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!