DAP jangan campur urusan umat Islam!
Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
A
A
A
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Penasihatnya, Lim Kit Siang juga tidak berhak mempersoalkan sama ada orang Islam yang menentang ratifikasi ICERD adalah muslim sejati atau sebaliknya.
"Dia tidak berhak bercakap tentang umat Islam dan tidak perlu mengajar orang Islam yang lebih mengerti (mengenai Islam) dari dia," tegas Ahli Parlimen Marang itu ketika ditemui wartawan di Rusila, hari ini.
Terdahulu, Kit Siang mendakwa banyak negara yang mempunyai penduduk majoriti beragama Islam yang telah meratifikasikan dan melaksanakan ICERD.
Memetik kenyataan Kit Siang di laman rasmi DAP, Roketkini, Kit Siang menujukan persoalan kepada Abdul Hadi sama ada orang Islam yang menentang ratifikasi ICERD adalah muslim sejati.
Dalam kenyataan itu juga, Kit Siang menyenaraikan 36 buah negara majoriti penduduk Islam yang telah meratifikasikan ICERD termasuk Yemen, Tunisia, Arab Saudi dan Turki. Bagaimanapun, Kit Siang tidak mengulas realiti kesemua negara tersebut tidak mempunyai keunikan dalam konteks kemajmukan dan kepelbagaian kaum serta bangsa.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi meminta pemimpin Islam yang berada dalam PH yang lebih mengerti mengenai perkara yang melibatkan umat Islam agar 'mengajar' penasihat DAP itu.
"Yang sepatutnya orang Islam yang sama dengan dia (dalam PH ) yang lebih mengerti tu ajar dia. Ini dia pula nak ajar orang Islam dan PH, itu tak betul," katanya.
Dalam masa sama, Abdul Hadi menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah lebih baik berhubung polemik dan kontroversi mengenai ratifikasi ICERD itu berbanding Kit Siang.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Hadi dengan tegas meminta semua pemimpin DAP agar lebih menghormati sensitiviti semua kaum dan jangan dilihat hanya kepada satu kaum sahaja.
"Yang jelas DAP ini hanya melihat satu kaum sahaja, tidak melihat semua kaum. Kita lihat bagaimana dia, orang yang bukan kaum Cina dalam DAP disingkirkan dalam pemilihan dia," katanya.
Ketika ditanya mengenai gabungan Pas dan Umno yang bergabung membantah ratifikasi ICERD turut dipersoalkan DAP, Abdul Hadi berkata, DAP sebenarnya tidak mahu melihat orang Melayu bersatu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!