[VIDEO] 'KPM tiada akan patah balik, UPSR, PT3 tidak lagi relevan' - Fadhlina

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) sekali lagi menegaskan tidak akan berpatah balik dalam keputusan berkaitan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dibuat masing-masing pada 2021 serta 2022.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, peperiksaan itu disifatkan tidak lagi relevan khususnya dalam menerajui Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"KPM tidak akan berpatah balik dan kekal (keputusan untuk) menghapuskan UPSR dan PT3 kerana ia tidak lagi relevan.

"Kita beri ruang kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diperkukuh, berlangsung dengan baik. Apa pun yang berlaku dalam pendidikan harus dikembalikan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar, di Dewan Rakyat pada Isnin.

Fadhlina Sidek pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama
Fadhlina Sidek pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama

Terdahulu, Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy (WARISAN-Kota Belud) dan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mencelah penggulungan Fadlina dengan meminta pihak kementerian mengembalikan semula dua peperiksaan terbabit.

Dalam pada itu Fadlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menjelaskan, penghapusan UPSR dan PT3 tidak bermaksud tiada peperiksaan yang akan menilai prestasi pelajar.

Artikel Berkaitan:

Malah menurutnya, KPM akan memperkukuhkan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) sebagai sebahagian daripada konteks pentaksiran supaya menjadi penanda aras kepada ibu bapa untuk mengetahui prestasi pendidikan anak.

"Melihat kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan, ia harus dinilai dalam konteks yang adil serta holistik.

"Kita bergerak dari proses berorientasikan peperiksaan kepada pentaksiran, sudah tentu memerlukan masa untuk penjelasan serta pencerahan.

"Proses penjelasan akan berlaku lebih baik selepas ini dan KPM akan turun dari semasa ke semasa khususnya ke PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) untuk melatih guru membuat pentaksiran supaya mereka melaksanakan tugasan dengan integriti," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!