UiTM rangkul Anugerah MSOSH 2024
SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM ) merangkul Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) 2024.
UiTM melalui Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM (U-DServeD) di bawah Jabatan Canseleri dinobatkan sebagai penerima bagi sektor awam: anugerah premier yang diadakan di Sunway Resort Hotel pada Isnin.
Kemenangan itu membuktikan komitmen UiTM sebagai salah satu peneraju amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) universiti awam di negara ini.
Pengarah U-DServeD, Profesor Madya Dr Roslinda Alias berkata, U-DServeD telah menunjukkan dedikasi dalam memastikan piawaian keselamatan dan kesihatan di tempat kerja berada pada tahap terbaik selaras peringkat global.
"U-DServeD menerima pengiktirafan buat kali pertama yang menekankan peranan penting mereka dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan dalam kalangan warga UiTM khususnya dalam komuniti OKU.
"Penganugerahan ini bukan sahaja mengiktiraf usaha gigih dan komitmen kami dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di UiTM, tetapi mendorong kami untuk terus berinovasi dan memperbaiki amalan KKP," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Majlis penganugerahan itu dilaksanakan bersempena dengan Majlis Anugerah MSOSH Tahunan ke-42.
Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Dr Md Yusof Hamid yang mewakili Naib Canselor UiTM.
Menurut Roslinda, penganugerahan itu membolehkan U-DServeD diberikan hak untuk memaparkan logo Anugerah MSOSH dalam semua komunikasi rasmi mereka sepanjang tahun ini.
Ujar beliau, anugerah itu merupakan simbol pengiktirafan dan komitmen pihaknya terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan cemerlang.
"Ini seterusnya mengukuhkan posisi UiTM sebagai institusi yang mendukung kecemerlangan dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam kalangan institusi pendidikan tinggi.
"Majlis ini juga memberikan platform kepada U-DServeD untuk berkongsi amalan terbaik dan meneroka kerjasama baru dengan pemain utama lain dalam industri ini, memperkuatkan lagi rangkaian sokongan dan kolaboratif dalam memajukan KKP di Malaysia," tambah beliau.
Md Yusof memberitahu, UiTM amat berterima kasih kepada MSOSH dan semua pihak atas pengiktirafan terbabit.
"Kami berkomitmen untuk terus menjadi contoh terbaik dalam industri ini dan untuk membawa perubahan berkesan dalam memastikan lingkungan kerja selamat untuk semua," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!