KPDN siasat stesen minyak didakwa jual minuman isotonik mahal
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyiasat isu tular berkenaan sebuah stesen minyak di ibu kota yang menjual minuman isotonik 500ml dengan harga RM3.60 sebotol.
KPDN WPKL memaklumkan, sepasukan penguat kuasa telah ke lokasi dan mengesahkan premis terbabit menjual air minuman isotonik tersebut dengan harga ditularkan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kedai serbaneka itu meletakkan tanda harga jelas untuk dilihat pelanggan.
"KPDN telah mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
"Notis tersebut diserahkan kepada pengurus stesen untuk mendapatkan maklumat dan dokumen terperinci bagi harga kos, maklumat pembekal, harga jualan dan margin keuntungan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, tindakan selanjutnya adalah prosedur siasatan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Ujarnya, pada masa sama, premis juga diberikan nasihat supaya sentiasa mengemaskini penandaan harga jika terdapat sebarang perubahan harga serta caj perkhidmatan.
Selain itu katanya, premis perlu memberikan maklumat harga yang jelas ke atas barangan jualan.
Pada Sabtu, presiden sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali Datuk Dr Kalai Vanar menerusi perkongsian media sosial menunjukkan harga minuman di sebuah stesen minyak yang dianggap tidak masuk akal.
Menerusi video berkenaan, Kalai Vanar berkata, minuman tersebut sepatutnya dijual pada harga antara RM1.80 atau RM2.20 berbanding RM3.60.
Harga RM3.60 itu diibaratkan beliau seperti jualan di dalam kawasan lapangan terbang.
Justeru, beliau mendesak KPDN menjalankan pemeriksaan harga di semua kedai serbaneka stesen minyak berkenaan kerana didakwa meletakkan harga menekan rakyat.
Sementara itu, KPDN WPKL mengalu-alukan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat atau aduan di https://eaduan.kpdn.gov.my atau 1 800 886 800 atau e-aduan@kpdn.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!