Kerajaan perlu dedah syarat wajib kontrak dua hala U Mobile

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mendedahkan syarat wajib kontrak dua hala yang mengikat U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) sebagai penyedia rangkaian 5G Kedua Malaysia.

Masyarakat Sivil dan Profesional mewakili Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (KRPPM-IGAR) dalam satu kenyataan turut meminta agar perkara lain seperti komitmen pelancaran, projek penanda aras, penunjuk prestasi utama, peranan dan skop tugasan bagi syarikat berkenaan turut didedahkan.

Beliau berkata, ia penting memandangkan negara telah melihat banyak projek gagal disebabkan kekurangan pengawasan semasa peringkat pelaksanaan dan tidak jelas terhadap tanggungjawab serta peranan sebenar syarikat yang diberikan kelulusan oleh kerajaan.

“Pendedahan itu membolehkan satu tahap penelitian tambahan terhadap prestasi pelaksanaan dilakukan.

“Ia juga memastikan badan kawal selia kerajaan dan mekanisme yang ada memenuhi kewajiban mereka dalam aspek pengawasan seperti audit serta semakan terhadap prestasi U Mobile,” katanya dalam satu kenyataan bersama pada Isnin.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam satu kenyataan pada Rabu menjelaskan pemilihan syarikat U Mobile itu dibuat melalui proses teliti, merangkumi perbincangan terperinci mengenai aspek teknikal dan komersial.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Sabtu berkata, SKMM berhak mengenakan syarat tambahan kepada syarikat U Mobile Sdn Bhd sebelum memberikan spektrum untuk menjadi pelaksana rangkaian 5G kedua negara.

Ulas beliau, syarat tersebut adalah bagi memastikan tidak berlaku ketidakseimbangan dan mewujudkan persaingan sihat antara syarikat telekomunikasi (telco).

Artikel Berkaitan:

Ujar kenyataan berkenaan, kerajaan juga perlu mengumumkan kos-faedah analisis yang telah dijalankan sehingga membawa kepada pemilihan U Mobile.

Jelasnya, tindakan berkenaan bakal menjawab persoalan lanjut seperti alasan di sebalik keputusan untuk tidak mengadakan bidaan dan lesen hanya diberikan kepada pembida tertinggi.

“Selain itu, apakah jangkaan pendapatan tahunan U Mobile daripada peruntukan spektrum 700 Megahertz (MHz) dan 3.5 Gigahertz (GHz) oleh kerajaan yang merupakan penggunaan sumber negara?

“Adalah penting bagi kerajaan menjelaskan alasan di sebalik pemberian kelonggaran tertentu untuk menunjukkan bahawa ia akhirnya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kerajaan digesa menunjukkan kepimpinan dan komitmen untuk melakukan pembaharuan dengan menangani polemik pemilihan syarikat telekomunikasi berkenaan.

“Kami menuntut ketelusan penuh, akauntabiliti dan pengenalan pantas untuk undang-undang perolehan bagi mengelakkan pilih kasih serta memastikan projek nasional memberi manfaat yang terbaik kepada negara.

“Undang-undang itu juga harus mewajibkan penerbitan maklumat tepat pada masanya pada kedua-dua pra-tender dan peringkat selepas tender serta menghalang sebarang pengaruh eksekutif,” ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!