Kes buli UPNM: Polis rakam keterangan suspek pijak junior
KUALA LUMPUR - Polis telah merakam keterangan suspek kes buli seorang penuntut tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, selain suspek, polis turut merakam percakapan lima saksi pada Isnin.
"Suspek tidak ditahan, setakat ini 15 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Terdahulu, polis memaklumkan suspek tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk dirakam keterangan pada petang Isnin.
Pada Ahad, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.40 malam Jumaat.
Rusdi dilaporkan berkata, kejadian berlaku pada jam 10.45 malam 21 Oktober lalu, ketika mangsa berada di tepi padang kawad setelah selesai panggil nama.
Lelaki berusia 19 tahun itu dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga di universiti berkenaan.
Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berhubung kecederaan yang dialami.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan dilengkapkan.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, Kementerian Pertahanan berpendirian kejadian seumpama itu tidak wajar berlaku dan hanya merosakkan imej UPNM dan institusi pengajian tinggi.
Kementerian Pertahanan akan memberi sepenuh kerjasama dan perhatian dalam perkara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!