Projek LRT Laluan Mutiara dijangka bermula tahun depan
SEBERANG JAYA - Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dijangka dimulakan tahun depan sementara menunggu perbincangan dengan pihak kontraktor dan kelulusan daripada Kementerian Kewangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perbincangan sedang diadakan dengan kontraktor utama kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan terutama dari segi kos dan reka bentuk jajaran landasan kereta api.
Menurutnya, mengikut perancangan awal, jajaran membabitkan laluan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hingga ke Komtar.
Bagaimanapun katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan laluan disambung hingga ke Penang Sentral di Butterworth.
"Berlaku pengubahsuaian skop dan juga reka bentuk jajaran yang sudah tentu akan ada perubahan dari segi kos pembinaan.
"Justeru, banyak rundingan telah dijalankan dengan pihak kontraktor yang kita berharap dalam tempoh dua bulan ini beberapa perjanjian berkaitan dapat dimuktamadkan dan mendapat kelulusan Kementerian Kewangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan wakil Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) memeterai perjanjian persefahaman (MoA) serta majlis menandatangani perjanjian induk (HoA) antara RAC dan pemaju, Rivanis Ventures Sdn Bhd bagi pelaksanaan projek di Kampung Manis.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Pada 15 Oktober lalu Sinar Harian melaporkan pemaju dan pemilik aset Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang merupakan syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan, MRT Corp serta kontraktor projek, SRS Konsortium Sdn Bhd sedang dalam rundingan terakhir berhubung projek berkenaan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, rundingan tersebut bagi memuktamadkan beberapa isu termasuk teknikal dan nilai kontrak.
Menurutnya, selepas dua isu penting itu dimuktamadkan, perjanjian antara dua pihak dijangka dimeterai sebelum kerja kontrak dimulakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!