Morales pula cedera

Morales mengalami kecederaan ketika aksi Liga Super, JDT menentang Perak pada Ahad. Foto FB Johor Southern Tigers
Morales mengalami kecederaan ketika aksi Liga Super, JDT menentang Perak pada Ahad. Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

SETELAH kehilangan dua pemain tengah, Natxo Insa dan Mukhairi Ajmal Mahadi, skuad negara pada Isnin berdepan episod baharu siri kecederaan.

Kali ini ia melibatkan penyerang naturalisasi, Romel Morales, lapor Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tidak dapat melapor diri selepas disahkan laporan perubatan mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan Liga Super menentang Perak FC pada malam Ahad.

Susulan itu, jurulatih skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente memanggil pemain muda berusia 21 tahun dari kelab Chonburi FC, Fergus Tierney bagi mengisi posisi Morales.

"Fergus dan kapten, Dion Cools akan terus menyertai pasukan di Bangkok, Thailand setibanya skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti di sana, esok," catat FAM menerusi Facebook pada Isnin.

Empat pemain JDT yang lain iaitu penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Hanapi sudah melapor diri bersama pasukan negara.

Insa dan Mukhairi pada Ahad tersisih daripada skuad selepas mereka mengalami kecederaan ketika aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) minggu lalu.

Pengendali dari Sepanyol itu kemudian memanggil pemain Kuala Lumpur City, Zhafri Yahya dan Fazrul Amir Md Zaman (Kelantan Darul Naim) bagi mengisi dua kekosongan itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!