Penolong pegawai hospital dituduh tipu pelaburan emas lebih RM310,000
KUALA LUMPUR - Seorang penolong pegawai penyedia makanan di sebuah hospital, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas tiga pertuduhan berkaitan emas dan skim pelaburan emas 'Paddy Jewellery' yang tidak wujud, membabitkan RM310,550, bermula dua tahun lalu.
Rosdi Abd Malek, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menipu pengurus barangan perkakasan, Siti Nur Faezah Zulkifli, 38, dengan memperdayakannya dalam menawarkan skim pelaburan 'Paddy Jewellery' yang tidak wujud.
Perbuatan itu mendorong mangsa menyerah wang RM153,900 ke dua akaun bank syarikat Paddy Jewellery yang mana wanita itu tidak akan menyerahkannya, jika tidak diperdayakan, di sebuah pangsapuri di Bandar Tun Razak, Cheras pada Mei 2022.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menipu pekerja hospital, Mohammad Shahrulnizam Ahmad, 47, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai tertuduh boleh membekalkan emas pada harga yang kurang dari harga pasaran emas.
Ia mendorong mangsa menyerahkan wang RM156,650 ke akaun bank syarikat itu, sedangkan mangsa tidak akan bertindak seperti itu, sekiranya tidak diperdayakan, di sebuah hospital, di Jalan Pahang di sini pada 13 Mei hingga 19 Ogos lalu.
Dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut didakwa atas satu pertuduhan, menerima deposit daripada Siti Nur Faezah wang sama (RM153,900) melalui dua akaun bank serupa atas nama syarikat terbabit, tanpa lesen sah di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Kesalahan didakwa dilakukan di lokasi sama pada 20 Februari hingga 28 Jun lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di Bawah Seksyen 137(2) akta sama membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak dan M Saravanan sementara peguam, Davey Wan Guan Hui hadir bagi pihak tertuduh.
Rosli membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM35,000 bagi ketiga-ketiga kes dengan seorang penjamin, termasuk syarat tambahan, menyerahkan pasport kepada mahkamah hingga ke selesai.
Mahkamah menetapkan 10 Disember depan untuk sebutan kes.
Pada 23 Oktober lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menahan lima individu, dipercayai terlibat dalam penipuan jualan emas membabitkan kerugian jutaan ringgit.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, semua yang ditahan mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan pelaburan emas 'Pa Jewellery' dan 'Paddy Jewellery'
Beliau berkata, sehingga bulan lalu, sebanyak 69 laporan polis berhubung penipuan pelaburan tersebut telah diterima dengan kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM48.5 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!