Penduduk Kampung Setia Jaya rayu kerajaan beri hak milik tanah

Mohd Ridzuan (tengah) bersama sebahagian penduduk menunjukkan dokumen berkaitan isu status tanah penduduk di kampung berkenaan.
Mohd Ridzuan (tengah) bersama sebahagian penduduk menunjukkan dokumen berkaitan isu status tanah penduduk di kampung berkenaan.
A
A
A

TAIPING - Penduduk Kampung Setia Jaya, Kamunting di sini merayu kerajaan negeri menyelesaikan isu status tanah penduduk yang masih belum diberi milik sejak 40 tahun lalu.

Pengerusi Badan Bertindak Kampung Setia Jaya, Che Mohammad Aris Saidin berkata, isu berkenaan berlarutan sejak sekian lama menyebabkan 40 keluarga yang masih tinggal di situ bimbang mereka akan diusir dari kediaman masing-masing.

Menurutnya, mereka menuntut janji yang dibuat beberapa pemimpin politik yang mahu menyelesaikan isu tersebut dengan memberikan geran tanah kepada penduduk.

Che Mohammad Aris
Che Mohammad Aris

"Setiap kali pilihan raya mereka janji nak bantu kami jadi sehingga sekarang masih belum ditunaikan. Tahun 2001 kami kumpul duit seorang RM100 untuk buat pelan bagi tujuan pengeluaran geran tapi sampai sekarang tak ada perkembangan.

"Kita sudah hantar tiga surat kepada Menteri Besar sejak tahun 2001 hingga 2023 namun sampai sekarang belum ada perkembangan positif. Jadi kami merayu kepada kerajaan negeri untuk bantu selesaikan masalah kami ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Setia Jaya, Kamunting di sini pada Ahad.

Che Mohammad Aris berkata, pihaknya menerima surat daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Larut Matang dan Selama pada Oktober 2016 yang menolak permohonan penduduk.

Menurutnya, alasan diberikan kerana Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) kawasan kampung itu mahu dijadikan kawasan zon penampan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sebagai alternatif pihak PDT menawarkan lot kediaman di Kampung Kurnia Jaya Tambahan untuk penduduk berpindah ke kawasan itu dengan syarat tidak menuntut sebarang pampasan atau ganti rugi sepanjang proses pemindahan tersebut.

Seorang penduduk, Maidin Mohamad, 64, berkata, sebahagian penduduk mengambil keputusan untuk tidak berpindah kerana tidak berkemampuan membina rumah di tempat baharu walaupun terdapat sebahagian penduduk yang menerima tawaran berkenaan.

"Kami tidak bersetuju kerana ia menelan belanja yang banyak. Mereka cuma bagi lot rumah, kami mana ada modal nak buat rumah sebab kebanyakan penduduk di sini warga emas dan pesara.

"Jika disediakan rumah di tanah tersebut, mungkin kita boleh pertimbangkan untuk pindah tapi ia tak berlaku. Lebih baik kami kekal di sini," katanya.

Katanya, penduduk yang ada sekarang sepakat untuk mempertahankan kediaman masing-masing dan jika mereka dipindahkan maka tiada lagi lagi Kampung Setia Jaya ini.

Mohd Ridzuan
Mohd Ridzuan

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Sukarelawan Ikhlas Malaysia, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, isu yang diutarakan penduduk dilihat berasas memandangkan ia sudah berlarutan sejak 40 tahun lalu.

Menurutnya, masalah itu perlu diselesaikan segera oleh kerajaan negeri kerana penduduk akan kehilangan kediaman masing-masing jika ada pihak yang bertindak mahu menukar status kawasan tersebut selain kediaman.

"Saya tak faham kenapa susah sangat mereka nak dapat geran sedangkan ia kampung ini dah wujud sejak 40 tahun lagi. Kalau nak dipindahkan mereka ini sediakan kemudahan yang sewajarnya dan beri pampasan kepada mereka.

"Kerajaan negeri perlu proaktif menyelesaikan isu ini. Kita harap masalah ini dapat diselesaikan dalam masa sebulan dan jika tidak selesai saya akan bawa penduduk ke Putrajaya serah memorandum kepada Perdana Menteri," katanya.

Terdahulu, Mohd Ridzuan bersama jawatankuasa bertindak mengadakan pertemuan dengan kira-kira 40 orang penduduk bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang sudah berlarutan sekian lama.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, isu berkenaan dalam pengetahuan PDT Larut Matang dan Selama.

Menurutnya, penjelasan lanjut akan dibuat oleh Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Mohd Nasrul Menhat.

Bagaimana beliau menasihati mana-mana pihak supaya untuk tidak mengambil kesempatan terhadap masalah itu kerana ia tidak seperti yang digambarkan.

"Ramai orang ingin menjadi juara kepada masalah itu. Jadi kepada juara-juara ini saya nasihatkan dia kena semak dulu status tanah dan sejarahnya, bukan tiba-tiba datang ak jadi hero untuk memberi sokongan kepada mereka yang tak mahu ikut (berpindah).

"Keputusan telah dibuat dan pegawai daerah mengaku 40 orang setuju untuk menerima tawaran daripada kita dan selebihnya tak mahu terima, kemudian dia bawa orang lain pula untuk menjadi juara," katanya.

Saarani berkata, segala tindakan dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak serta segala peraturan yang ada.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!