Budak empat tahun cedera disyaki didera rakan ibu
KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera selepas disyaki didera penjaga sementara yang merupakan rakan wanita kepada ibu mangsa di Taman Desaria, Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, dalam kejadian itu, mangsa didapati cedera di bahagian mata, tangan dan luka di punggung.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu dijaga oleh wanita terbabit, selepas ibu mangsa ditahan atas kesalahan dadah pada 18 September dan dijamin suaminya pada 6 November.
"Apabila mengambil anak, mereka mendapati terdapat kecederaan pada kanak-kanak itu. Penjaga sementara tersebut memberi alasan mangsa cedera akibat terkena mercun.
"Mangsa kemudianya dibawa ke klinik untuk rawatan pada 8 November dan laporan polis dibuat oleh doktor pada 9 November,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Shahrulnizam berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes siasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak Kanak 2001 (Akta 611).
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau pegawai penyiasat iaitu Inspektor R Daamotaran Naidu ditalian 019-6551269. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!