SMK Shah Alam laung amaran awal
JARINGAN Darwisy Ukail Mohd Ezazulhelry dan Muhammad Darwisy Danish Mohd Noor Kerisman membolehkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih sempena Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 (B-15) 2024.
Kemenangan 2-0 pasukan berpangkalan di Shah Alam itu ke atas SMK Darul Ehsan, Batu Caves juga membolehkan skuad kendalian, Osmera Omaro memulakan kempen Kumpulan A Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 dengan tiga mata.
Selain diundi bersama SMK Darul Ehsan, Kumpulan A turut dianggotai SMK Taman Dato' Harun dan SMK Jalan 3 untuk pusingan peringkat 32.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Mini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) SMK USJ 23 Subang Jaya, SMK Shah Alam bermula garang apabila mendahului seawal minit ketiga menerusi Darwisy Ukail untuk memimpin separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, kedua-dua pasukan meningkatkan intensiti permainan sebelum SMK Shah Alam menoktahkan sebarang kebangkitan SMK Darul Ehsan menerusi jaringan Muhammad Darwisy minit ke-59.
"Alhamdulilah, syukur pemain-pemain berjaya mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih, selain tiga mata berharga untuk pemulaan kempen kumpulan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15.
"Begitupun sejujurnya masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki pasukan biarpun keluar sebagai pemenang dalam perlawanan hari ini," kata Osmera selepas perlawanan.
Hadir menyampaikan hadiah Ketua Bahagian Perancangan dan Operasi, Kumpulan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Datuk Zamri Ahmad.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Datuk Emran Kadir dan Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Nofadzilah Rosdi.
Kejohanan pembangunan bawah 15 edisi 2024 dibarakan dengan penajaan daripada Kumpulan PNSB manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!