Rombak pengurusan UPNM, lantik veteran jadi warden

Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak pengurusan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu dirombak bagi menangani isu buli dalam kalangan pelajar di institusi berkenaan, kata bekas Ketua Perisik Tentera Darat, Datuk Khlir Mohd Nor.

Menurut beliau, kes buli yang semakin banyak dilaporkan kebelakangan ini membuktikan kegagalan pihak pengurusan dalam mentadbir hal ehwal pelajar.

“Jika kejadian sama masih berlaku berulang kali, masalah sebenar mungkin berpunca daripada pihak pengurusan.

“Dalam tentera, tidak kiralah di pusat pengajian atau maktab sekali pun memang akan ada budaya (buli) ini tetapi apa yang berlaku sekarang sangat teruk kerana sudah meragut nyawa.

“Jika betul untuk eratkan silaturahim ini bukan caranya, ada banyak lagi kaedah yang betul. Jadi, di sini saya lihat kegagalan itu berpunca daripada pihak pentadbiran sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Khlir yang juga Ahli Parlimen Ketereh memaklumkan, institusi pendidikan sepatutnya mempunyai mekanisme untuk menangani masalah buli.

Ujarnya, sebelum ini jenayah ini sudah meragut nyawa seorang penuntut UPNM tetapi seolah-olah tiada tindakan tegas diambil untuk menghentikan gejala tersebut.

“Bagi mengelakkan perkara ini terus berulang, satu perubahan besar perlu dilakukan terhadap pihak pengurusan UPNM, bermula dengan pelantikan warden di asrama penuntut.

Artikel Berkaitan:

“Saya cadangkan supaya lantikan warden terdiri daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana mereka ini mempunyai lebih banyak pengalaman dalam bidang ini.

“Ramai askar pencen yang berusia 40 ke 50 tahun tiada kerjaya kedua, jadi dengan lantikan sebagai warden ini sekali gus memberi peluang kepada veteran ATM untuk menampung perbelanjaan keluarga,” jelasnya.

Kampus UPNM di Sungai Besi.
Kampus UPNM di Sungai Besi.

Beliau berkata, selain rombakan pihak pengurusan, institusi pendidikan tinggi harus mempunyai mekanisme yang sesuai untuk mencegah gejala buli.

Ujarnya, inisiatif tersebut boleh dilakukan mengikut kesesuaian seperti memasang 'mata-mata' untuk memantau sekiranya ada kes buli.

“Pelajar baru memang akan takut dengan senior sebab kalau bocorkan maklumat mungkin mereka pula akan dipukul.

“Jadi, warden atau pihak pengurusan kena bijaklah fikir solusi kepada masalah ini. Selepas ini, jika masih berlaku kejadian sama, bukan pelajar sahaja dibuang daripada institusi tetapi pihak pengurusan sekali,” tegasnya.

Pada Ahad, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mendedahkan polis sedang menyiasat kejadian membabitkan seorang penuntut UPNM berusia 19 tahun yang disyaki dipijak oleh penuntut senior tahun tiga sehingga retak tulang rusuk dan tulang belakang belakang badan.

Pendedahan tersebut mengejutkan ramai orang kerana beberapa hari sebelum itu, seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM diheret ke mahkamah atas pertuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas.

Amirul Iskandar Norhanizan, 22, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap yang panas di akademi berkenaan di UPNM, Kem Sungai Besi, Cheras pada 11.45 malam 22 Oktober lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi perkongsian di platform X memaklumkan pihaknya berpendirian kejadian terbaharu tersebut adalah tidak wajar dan merosakkan imej UPNM serta institusi pendidikan tinggi, dan menyerahkan siasatan kepada polis.

Sabtu lepas, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sistem pentadbiran di UPNM akan ditambah baik termasuk dengan menambah bilangan warden.

“Pendekatan menambah bilangan warden ini dibuat sejak kejadian pertama membabitkan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017,” kata Adly.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!