Rusia-Ukraine lancar serangan dron terbesar

Pesawat tanpa pemandu (UAV) telah menjadi antara 'mesin perang' yang digunakan kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet tersebut.
Pesawat tanpa pemandu (UAV) telah menjadi antara 'mesin perang' yang digunakan kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet tersebut.
A
A
A

MOSCOW - Rusia dan seterunya, Ukraine melancarkan serangan dron terbesar sejak konflik antara kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu tercetus pada Februari 2022.

Kementerian Pertahanan di Moscow mengesahkan ia berjaya menembak jatuh 84 pesawat tanpa pemandu (UAV) milik musuh di enam wilayah termasuk sejumlah dron yang disasarkan ke ibu kota hingga memaksa 36 penerbangan dialihkan dari tiga lapangan terbang utama selain menyebabkan lima orang cedera pada Ahad.

Kiev pula mendakwa Rusia melancarkan 145 dron, sehari sebelum itu dan sebahagian besar daripadanya telah ditembak jatuh.

Krisis di rantau Eropah kembali memuncak beberapa hari selepas Donald Trump memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dan banyak pihak bimbang jika Perang Rusia-Ukraine akan bertambah buruk.

Berdasarkan analisis Institut untuk Kajian Perang, serangan berskala besar itu dilancarkan setelah pasukan tentera Rusia dilaporkan membuat kemajuan terbesar di Ukraine pada bulan lalu.

Tetapi, Moscow juga berdepan bulan paling buruk kerana secara purata, apabila kira-kira 1,500 anggota tentera mereka cedera atau terkorban hampir setiap hari sepanjang bulan Oktober.

Ketika ini, terdapat spekulasi mengenai pendekatan yang akan digunakan oleh Trump untuk meredakan peperangan tersebut memandangkan Washington merupakan penyokong kuat Kiev termasuk menyalurkan bekalan senjata buat mereka.

Bakal Presiden ke-47 AS itu ketika berkempen berulang kali menyatakan beliau akan menamatkan sengketa itu dalam masa sehari, namun tiada butiran tentang rancangan tersebut didedahkan setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut Bryan Lanza yang merupakan bekas Penasihat Trump berkata, pentadbiran baharu di Rumah Putih akan memberi tumpuan kepada usaha mencapai perdamaian dan bukannya mahu memastikan Ukraine memperoleh semula wilayah yang dirampas Rusia.

Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov percaya dengan 'isyarat positif' daripada kepimpinan baharu AS yang akan diterajui Trump sekali lagi meskipun hubungan antara Washington dan Kremlin agak tegang sebelum ini.

“Beliau ada menyebut tentang hasrat mahukan keamanan dan bukannya mahu melihat kekalahan Moscow,” ujarnya.

'PAYUNG' ELEKTRONIK MOSCOW

Bilionair kontroversi itu juga dikatakan ada menghubungi Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy setelah pemimpin tersebut cuba meraih sokongan daripada bakal pengganti Presiden Joe Biden pula.

Sebelum ini, Zelenskyy pernah memberi amaran terhadap sebarang cubaan mahu menyerahkan wilayah Kiev kepada Rusia dan beliua turut menegaskan tanpa bantuan AS mereka akan tewas dalam peperangan menentang Moscow.

Trump (tengah) menjadi 'harapan baharu' untuk mencari jalan penyelesaian bagi menamatkan sengketa Putin (kiri) dan Zelenskyy.
Trump (tengah) menjadi 'harapan baharu' untuk mencari jalan penyelesaian bagi menamatkan sengketa Putin (kiri) dan Zelenskyy.

Rusia dan Ukraine berlumba-lumba membeli dan membangunkan dron baharu di tengah-tengah konflik yang bakal memasuki tahun ketiga pada Februari depan.

Moscow menggunakan 'payung' elektronik di ruang udara dan lapisan tambahan di atas bangunan strategik dan kompleks sistem pertahanan udara untuk menembak jatuh mana-mana dron sebelum ia sempat menjangkau ke ibu kota.

Kedua-dua negara yang saling bermusuhan itu juga telah menukar dron komersial murah kepada senjata lebih berbahaya termasuk menggandakan penghasilan UAV tersebut.

Pasukan tentera Ukraine dan Rusia juga cuba menakut-nakutkan antara satu sama lain tentang impak serangan dron di bawah propaganda masing-masing.

Presiden Rusia, Vladimir Putin yang cuba mengelakkan peperangan itu daripada memberi kesan besar kepada Moscow pernah berikrar akan bertindak balas setelah Kiev berterusan melancarkan serangan dron ke atas infrastruktur awam termasuk kemudahan kuasa nuklear.

Bajet pertahanan terbesar sejak Perang Dingin yang diperuntukkan buat Moscow menyebabkan bandar paling kaya di Rusia itu tidak terjejas langsung dengan peperangan tersebut malah penduduk terus menjalani kehidupan seharian seperti biasa. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!