Arsenal ibarat jatuh ditimpa tangga

Bukayo Saka kerap mengalami kekejangan otot musim ini. Foto: Agensi
Bukayo Saka kerap mengalami kekejangan otot musim ini. Foto: Agensi
A
A
A

MIKEL Arteta mengesahkan Bukayo Saka dan Declan Rice mengalami kecederaan semasa Arsenal terikat 1-1 menentang Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal pagi Isnin.

Rice digantikan dengan Mikel Merino di awal babak kedua, manakala Gabriel Jesus masuk menggantikan Saka yang keluar terhincut-hincut.

Arteta tidak terlalu optimis apabila ditanya mengenai kemungkinan kedua-dua pemain tengah itu beraksi untuk England pada rehat antarabangsa bermula Jumaat ini.

“Ia bukan berita baik, lebih-lebih lagi apabila dua pemain yang begitu penting memberitahu anda bahawa mereka tidak dapat meneruskan permainan.

“Saya tidak pasti sama ada Declan dan Bukayo cukup cergas bermain untuk England kerana kedua-duanya baharu sahaja mendapat kecederaan,” ujar Arteta.

Sementara itu, mengulas keputusan seri di Stamford Bridge, Arteta memberi analogi pelik lawatan ke Disneyland bagi menggambarkan prestasi pemainnya.

“Apabila anda berada di Disneyland, semuanya cantik dan setiap orang baik dengan anda. Apabila ia mula gelap dan sukar, itulah masanya untuk mempamerkan keberanian anda.

“Kami tiada pilihan, kecuali menang. Itu yang perlu dilakukan. Tiada apa yang boleh kami ubah mengenai kedudukan kami, selain menang dan terus menang,” ujar Arteta.

Artikel Berkaitan:

Dalam pertembungan derbi London itu, anak buah Arteta mensia-siakan kelebihan menerusi jaringan Gabriel Martinelli 15 minit selepas rehat, sebelum gol penyamaan Pedro Neto pada minit ke-70 untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Menerusi tiga kemenangan dalam sembilan perlawanan terakhir liga, The Gunners menghuni tangga keempat, sembilan mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Arsenal kini telah mengharungi empat perlawanan EPL berturut-turut tanpa kemenangan buat kali pertama sejak April 2023.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!