'Satu-satunya tempat yang ada spesies lotong kelabu'

Lotong kelabu mudah dirapati penganjung Taman Alam Kuala Selangor.
Lotong kelabu mudah dirapati penganjung Taman Alam Kuala Selangor.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Terletak di muara Sungai Selangor menghadap Selat Melaka, Taman Alam Kuala Selangor menjadi destinasi tarikan pengunjung untuk melihat sendiri panorama alam semula jadi yang memukau.

Kawasan seluas 250 hektar yang kaya dengan habitat semula jadi spesies flora dan fauna itu menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Bagi penggemar aktiviti yang mencabar dan lasak, pastinya lawatan anda ke Taman Alam sesuatu yang menyeronokkan.

Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia, S Shanmugaraj berkata, gabungan hutan sekunder dan tanah lembap di Taman Alam merupakan habitat bagi lotong kelabu (silvered leaf monkey), spesies burung besar dan burung hijrah serta haiwan eksotik lain.

Beliau berkata, kawasan itu satu-satunya lokasi di dunia yang mempunyai spesies tersebut.

Ujarnya, spesies lotong kelabu dewasa mempunyai saiz sederhana besar berwarna kelabu gelap, manakala anak lotong pula berwarna oren kemerahan.

“Lotong kelabu ada banyak jenis tetapi hanya spesies ini terdapat di Taman Alam yang mana habitat boleh ditemui di paya bakau.

“Kita anggarkan terdapat 15 keluarga bagi populasi lotong ini di sini dan kelihatan unik kerana hanya memakan pucuk daun selain mesra pengunjung,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Jelas Shanmugaraj, gelagat kumpulan lotong yang berkeliaran di sekitar Taman Alam antara tarikan yang memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk penanaman pokok bakau yang berperanan sebagai pelindung semula jadi kepada bencana alam seperti tsunami, ombak besar dan ribut.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk penanaman pokok bakau yang berperanan sebagai pelindung semula jadi kepada bencana alam seperti tsunami, ombak besar dan ribut.

“Kita dapat lihat, lotong ini jinak dan tidak bertindak agresif sebaliknya hanya berkeliaran mencari makanan.

“Gelagat atau senario interaksi antara pelancong dengan primat merupakan suatu pandangan biasa apabila pengunjung membaling makanan dibawa ke arah lotong yang kemudiannya berebut-rebut mengutipnya,” jelasnya.

Selain keunikan lotong kelabu itu, Shanmugaraj memaklumkan, kawasan hutan itu juga merupakan rumah bagi sejumlah spesies burung.

Katanya, terdapat kira-kira 100,000 burung hijrah singgah di Taman Alam dari Oktober hingga April pada setiap tahun.

Burung hijrah ujarnya menjadi rangkaian laluan Burung Hijrah Asia Timur Australia (EAAF) membabitkan sebanyak 22 negara.

“Kita bertuah kerana Taman Alam ini menjadi salah satu destinasi persinggahan burung hijrah yang menjadi tarikan kepada pengunjung terutama peminat burung,” ujar beliau.

Katanya, lebih mengujakan, pengunjung berpeluang menggunakan teropong dan kamera bagi merakam gambar.

“Pastinya pengunjung berasa kagum apabila melihat banyak burung berterbangan bebas semasa berada di alam semula jadi ini,” ujar beliau.

Shanmugaraj menambah, hutan paya bakau mempunyai rahsia alam tersembunyi kerana ia berfungsi sebagai pemelihara ekosistem bagi habitat udang, ikan dan ketam.

“Selain itu, pokok bakau juga mempunyai peranan penting dalam memperkukuh dan memperkayakan sumber nutrien tanah,” jelasnya.

Selain itu, katanya, pokok bakau juga berperanan sebagai pelindung semula jadi kepada bencana alam seperti tsunami, ombak besar dan ribut.

“Hutan paya bakau mampu menyerap gelombang besar ombak dan angin kencang seterusnya membolehkan kawasan pesisiran pantai yang dilitupi hutan paya bakau selamat daripada impak bencana.

“Hutan ini mempunyai nilai tambah kepada penduduk setempat selain menyediakan sumber ekonomi sama ada dari sumber perikanan dan ekopelancongan kepada penduduk setempat,” katanya.

Taman Alam juga menjadi tempat persinggahan burung hijrah pelbagai spesies.
Taman Alam juga menjadi tempat persinggahan burung hijrah pelbagai spesies.

Jelasnya, Taman Alam turut mengadakan pelbagai aktiviti kepada masyarakat terutama kepada pelajar sekolah, pelajar universiti dan orang awam bagi menghargai khazanah alam.

Antara program ditawarkan ialah aktiviti penyemaian benih, pemulihan bakau, bengkel dan penyelidikan.

Lebih menarik, kawasan itu menjadi tempat acara bagi program kerajaan negeri, korporat, swasta dan persatuan tertentu.

“Kami sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak program terbabit boleh memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!