Tunang scam 'bakar katil kahwin' sebelum hilangkan diri
BEIJING - Seorang lelaki terperdaya dengan kepercayaan adat tunangnya yang rupa-rupanya adalah scam semata-mata.
Mangsa dikenali sebagai Wang dari bandar Tianjin, utara China bertemu dengan wanita dikenali sebagai Li melalui platform janji temu dalam talian.
Li mendakwa dia masih 'single' dan memiliki sejumlah hartanah serta kedai barang kemas.
Wang tertipu dengan pemberian beberapa hadiah untuk mengaburi matanya dan perkongsian gambar memaparkan hartanah milik kekasihnya di media sosial.
Ketika mahu mengikat tali cinta, Li meminta Wang melakukan ritual 'bakar katil kahwin' kononnya untuk bekas suaminya yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Rangkaian media Hongxing pada akhir bulan lalu melaporkan Li memberi alasan kesemua harta miliknya diwarisi daripada mendiang dan upacara itu bertujuan untuk berterima kasih kepadanya.
"Dia meminta mangsa sebanyak 100,000 yuan (RM65,000) untuk ritual tersebut dan meminta pemindahan wang tersebut melalui akaun bank. Peliknya, Li tidak hadir pada upacara itu atas alasan takut memberi nasib buruk kepadanya," jelas laporan itu lagi.
Li turut menghantar beberapa klip 'tutorial' ritual itu sebelum menyekat mangsa di aplikasi mesej dan kemudiannya hilang tanpa jejak.
Menyedari dirinya telah ditipu, Wang bertindak melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Hasil siasatan polis mendapati Li menggunakan taktik sama untuk menipu 30,000 yuan (RM19,500) daripada seorang lagi lelaki malah kesemua hartanah yang ditunjukkan kepada mereka juga adalah palsu.
Mahkamah Daerah Heping di Tianjin memutuskan Li melakukan penipuan dan dijatuhi hukuman penjara 42 bulan dan dikenakan denda.
Difahamkan, amalan berkaitan katil kahwin telah sekian lama dipraktikkan segelintir masyarakat di China termasuk larangan menggunakan katil sebelum hari bahagia tiba kerana dikhuatiri akan memberi nasib buruk kepada perkahwinan pasangan berkenaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!