[VIDEO] 'Saya kongsi fakta bukan auta' - Leman Dawi

A
A
A

SEREMBAN - Pertama kali bertemunya, mungkin ada beranggapan pemilik sebuah warung cendol di Sungai Gadut di sini seakan-akan 'meracau' apabila bercakap seorang diri mengenai sejarah.

Namun itulah cara Sulaiman Dawi, 72, melayan pelanggannya sejak berniaga 40 tahun lalu hingga kini.

Sulaiman menunjukkan papan putih yang digunakan untuk mencatat sejarah Negeri Sembilan.
Sulaiman menunjukkan papan putih yang digunakan untuk mencatat sejarah Negeri Sembilan.

Malah ada yang turut menggelarnya sebagai ensiklopedia bergerak kerana mampu mengingati pelbagai pengetahuan am bukan saja di Malaysia tetapi dunia.

Beritahu saja daripada mana anda datang, bekas pesara tentera itu segera memberitahu asal usul nama tempat atau negeri berkenaan, selain turut cekap dalam soal pengiraan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Leman Dawi berkata, peranannya sebagai jurulatih psikologi ketika berkhidmat dalam tentera dahulu membuatkan dia rajin membaca termasuklah soal sejarah.

Sulaiman menunjukkan warung cendolnya di Sungai Gadut.
Sulaiman menunjukkan warung cendolnya di Sungai Gadut.

"Jadi bagi memastikan saya terus ingat semuanya, saya akan berkongsi pengetahuan itu dengan pelanggan.

Artikel Berkaitan:

"Di warung juga saya turut catat sejarah tertentu dan ada beberapa buku sebagai rujukan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedainya pada Isnin.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada yang mengatakan pengetahuan am yang dikongsinya bukanlah fakta, sebaliknya auta.

Namun katanya, sebaik saja ditunjukkan bukti maklumat yang dikongsi, mereka baru percaya malah turut menyatakan rasa kagum dengan pengetahuannya.

Sulaiman berkongsi pengetahuan sejarah dengan pelanggannya.
Sulaiman berkongsi pengetahuan sejarah dengan pelanggannya.

"Kalau dulu semuanya di dalam buku, tapi sekarang dah mudah, kita boleh mencarinya di internet saja.

"Soalnya sekarang sama ada kita mahu membaca atau mengingatinya serta menghayatinya dan yang pentingnya saya berkongsi fakta, bukannya auta, " katanya.

Ditanya petua untuknya memiliki ingatan yang kuat, bapa kepada dua anak ini memberitahu, dia mengamalkan makan sayur bayam setiap hari.

Katanya, bayam mempunyai kandungan serat yang tinggi dan biasanya sayur itu akan dimasak lemak.

Sulaiman tidak lokek berkongsi pengetahuan sejarahnya.
Sulaiman tidak lokek berkongsi pengetahuan sejarahnya.

"Lagi satu kalau nak mudah ingat apa yang kita baca ialah membacanya dengan kuat kerana apabila kita mendengar, ia dapat menyokong untuk kita mengingat.

"Kemudian mencatatnya dan saya sendiri sampai sekarang kalau ketika memandu pun, saya membaca nota-nota ringkas yang saya tulis pada pita pelekat yang ditampal di stereng kereta," katanya.

Beliau berpendapat, generasi muda hari ini kurang pengetahuan mengenai sejarah kerana tidak begitu minat membaca.

Katanya, pentingnya sejarah itu untuk diingati supaya kita tidak hilang segala-galanya.

Sulaiman turut mencatatkan keluasan negara yang ada di dalam dunia..
Sulaiman turut mencatatkan keluasan negara yang ada di dalam dunia..

Bercerita mengenai perniagaannya, Sulaiman berkata, dia pada awalnya berniaga di tepi jalan bersama isterinya Zaleha Yahaya, 67, di Taman Tuanku Ampuan Najihah iaitu beberapa tahun sebelum bersara daripada perkhidmatan tentera pada 1993.

Bagaimanapun katanya, selepas beberapa tahun, dia ditawarkan berniaga di kawasan gerai di tepi jalan Seremban-Tampin di Sungai Gadut.

"Setiap pelanggan dibenarkan menambah cendol termasuk gula merah dan ais secara percuma.

"Warung saya dibuka setiap hari melainkan Jumaat bermula jam 11 pagi hingga 5 petang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!