Warga emas 92 tahun maut dilanggar kereta ketika lintas jalan
SHAH ALAM - Seorang lelaki warga emas maut dilanggar kereta ketika melintas jalan dalam kejadian di Kilometer 60.5 Jalan Klang-Teluk Intan di sini pada Isnin.
Kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 92 tahun dipercayai dalam perjalanan ke sebuah kedai makan berdekatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, siasatan polis mendapati pemandu kereta Nissan Sentra berusia 69 tahun dari arah Kuala Selangor menghala ke Tanjong Karang.
"Apabila pemandu tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai telah melintas jalan menyebabkan kenderaan itu yang berada berdekatan gagal mengelak dan melanggar mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Azaharudin memberitahu, akibat pelanggaran itu, mangsa telah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.25 pagi hari sama.
"Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!