Lelaki diserang sawan ditemui mati dalam tong air
TUMPAT - Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai tersembam ke dalam tong air yang berada di dalam bilik air dalam kejadian di Wakaf Bharu di sini pada Ahad.
Mangsa yang berusia 34 tahun itu dikatakan mengalami sawan sebelum kejadian terbabit.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pada jam 4.01 petang pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian seorang lelaki dikatakan tidak sedarkan diri.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami sawan dan kepalanya tersembam ke dalam tong berisi air di dalam bilik air rumahnya.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tumpat pada jam lebih kurang 6 petang untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah lemas.
Bagaimanapun Mohd Khairi memberitahu, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Ujarnya, pihak polis juga mengingatkan agar tiada mana-mana individu yang membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian terbabit boleh menghubungi Balai Polis Wakaf Bharu di talian 09-7196222 atau IPD Tumpat, 09-7257222," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!