Lelaki ditahan bawa orkid seludup bernilai hampir RM1 juta
TUMPAT - Seorang lelaki dicekup Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa selepas dipercayai membawa tanaman hiasan jenis orkid bernilai hampir RM1 juta di Jalan Kasban, Kampung Simpangan di sini pada Ahad.
Tangkapan melibatkan lelaki berusia 57 tahun itu dilakukan oleh anggota pada jam lebih kurang 6.30 petang apabila menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan tugasan Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih 280 tanaman hiasan jenis orkid yang dipercayai diseludup dari Thailand ditemukan di dalam kereta tersebut tanpa dokumen yang sah.
"Suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup orkid tersebut ke pasaran tempatan.
"Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM980,000 dan kes disiasat bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5," katanya pada Selasa.
Menurut beliau, suspek dan barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.
Kastam Kedah rampas 27,336 liter minuman keras
SUNGAI PETANI - Kastam negeri Kedah menyita 27,336 liter minuman keras pelbagai jenama tidak berkastam yang ditemui dalam sebuah treler berkunci di kawasan Perindustrian PKNS, Lebuh Raja Lumu, Port Klang di Selangor pada Jumaat lalu.
Pengarah Kastam Negeri Kedah, Nor Izah Abd Latiff berkata, serbuan ke atas kenderaan terbabit dilakukan oleh sepasukan pegawai kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Sungai Petani, Kedah dengan bantuan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA).
Katanya, serbuan yang dibuat pada jam 3.45 pagi itu melibatkan jumlah sitaan lebih RM281,000 dan cukai lebih RM611,000.
“Setelah menunggu lebih kurang satu jam tiada individu tampil mengaku sebagai pemilik lori atau barangan tersebut.
“Oleh itu, barangan berkenaan dibawa balik ke Pejabat Penguatkuasaan Sungai Petani, Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya,
Jelasnya, minuman keras bersatus 'Malaysian Duty Not Paid' adalah untuk pasaran Pulau Bebas Cukai.
“Mengikut Butiran 19, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2022 telah mengecualikan duti atau cukai tertakluk kepada jenis dan syarat-syarat tertentu ke atas minuman keras,” katanya.
Menurutnya, ketika pemeriksaan lanjut di lokasi juga pasukan tidak menemukan sebarang dokumen pengimportan bersama- sama barang dibawa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedarinya melindungi, menyimpan, menyembunyi atau mempunyai dalam milikannya atau membenarkan, membiarkan, menyebabkan atau mendapatkan untuk dilindungi, disimpan atau disembunyi apa-apa barang-barang tidak berkastam atau barang larangan.
“Jika sabit kesalahan, bagi kesalahan pertama denda tidak kurang dari sepuluh kali nilai barang atau RM50,000 mengikut mana yang lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!