Dana jaga kebajikan petugas agensi antirasuah dilancar hari ini

Abu Kassim
Abu Kassim
A
A
A

PUTRAJAYA - Inisiatif Malaysia, ‘Perdana International Anti-Corruption Champion Fund (PIACCF),’ dilancarkan hari ini menyalurkan bantuan kepada petugas agensi antirasuah di seluruh dunia.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, dana itu dengan sumbangan awal sebanyak RM500,000 dari Malaysia yang menjadi negara pertama berbuat demikian.

Beliau memberitahu dana itu bertujuan menyalurkan bantuan kepada pegawai agensi antirasuah yang menjadi sasaran atau terdedah kepada ancaman terhadap nyawa, keselamatan dan maruah mereka ketika menjalankan siasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti rasuah.

"Selepas 2004, banyak agensi antirasuah telah berkembang tetapi malangnya, ramai yang kalah dalam perjuangan seperti kena buang (kerja). Mereka (pegawai antirasuah) telah dibuang kerja hanya kerana mengambil tindakan terhadap sesuatu yang sensitif.

"Dana ini diwujudkan bagi membantu mereka. Kami mahu agensi antirasuah bebas dan berjuang untuk menegakkan kebenaran serta tanpa rasa takut," katanya.

Beliau berkata penubuhan dana itu adalah susulan penerimaan resolusi untuk mewujudkan dana tersebut di Persidangan Umum Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) di Vienna pada Januari tahun lepas.

Abu Kassim berkata sebelum ini, IAACA menggelarkan dana itu sebagai ‘Mahathir International Anti-Corruption Champion Fund’ bagi menghargai peranan beliau dalam usaha memerangi rasuah, namun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian mencadangkan agar nama tersebut ditukar kepada PIACCF untuk menjaga kebajikan pegawai antirasuah yang telah 'dieksploit' semasa bertugas.

Sementara itu, Datuk Muhammad Salim Sundar, antara pemegang amanah PIACCF, berkata, selain melancarkan dana tersebut acara yang berlangsung esok juga bakal menyaksikan penyampaian Anugerah Antirasuah Antarabangsa 2020 kepada dua individu sebagai menghargai usaha mereka dalam memerangi rasuah. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!