Ambil iktibar kes Zulfarhan, wujudkan undang-undang lebih berkesan bendung buli

Laporan muka hadapan Sinar Harian.
Laporan muka hadapan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan digesa mewujudkan sebuah kerangka undang-undang baharu yang lebih berkesan untuk membendung kes buli di negara ini dengan mengambil iktibar kes kematian tragis Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, sebarang usaha yang ingin diambil tanpa adanya peruntukan undang-undang lebih berkesan tidak akan membawa sebarang kesan positif.

”Bagi membendung kegiatan buli daripada berterusan berlaku khususnya di sektor pendidikan seperti di sekolah dan universiti, kerajaan boleh meminda sebarang peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) ataupun mewujudkan terus sebuah ’Akta Anti-Buli’.

”Kerajaan boleh membuat rujukan terhadap peruntukan undang-undang yang ada di United Kingdom dan Amerika Syarikat terhadap isu ini.

"Dengan adanya sebuah peruntukan undang-undang, semua pihak dalam negara kita akan mengambil serius terhadap isu buli ini serta mengelakkan diri mereka daripada terjebak dengan kegiatan buli,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai satu lagi kejadian buli dilaporkan di UPNM membabitkan pelatih tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.

Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang pelajar tahun dua universiti berkenaan ditekap seterika oleh pelajar tahun empat.

Pada 2017, Zulfarhan dilaporkan menghembuskan nafas terakhir akibat dibuli dan didera apabila tubuhnya ditekap menggunakan seterika wap.

Artikel Berkaitan:

Muzaffar Syah menegaskan, melalui peruntukan undang-undang tersebut ia boleh memastikan setiap tempat memiliki polisi antibuli yang lebih jelas, seragam dan sesuai.

Menurutnya, dengan adanya undang-undang khusus terhadap perkara itu juga, hukuman setimpal dapat diberikan kepada mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan buli serta gagal membendung kegiatan buli.

”Isu buli tidak boleh dipandang dengan sebelah mata sahaja serta hanya diberi perhatian jika berlaku sesuatu insiden buli seperti yang terjadi baru-baru ini.

”Ia memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak baik pensyarah, guru, ibu bapa atau pelajar sendiri bagi memastikan semua institusi pendidikan dalam negara kita menjadi gedung ilmu dan bukannya tempat untuk melahirkan generasi samseng,” ujarnya.

Tambah beliau, perbuatan membuli sama ada untuk berseronok atau kerana benci tidak sepatutnya menjadi amalan biasa atau budaya yang menunjangi institusi pendidikan negara.

Muzaffar Syah berkata, bagi menangani masalah buli juga semua sekolah dan universiti perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan buli.

"Ia perlu diuar-uarkan setiap masa bukan setakat diucapkan setiap awal tahun ketika sesi pembukaan persekolahan atau semasa majlis suai kenal masuk ke universiti.

"Pihak pengurusan sekolah dan universiti digalakkan menampal poster antibuli di dalam sekolah dan kampus universiti masing-masing serta mengedarkan risalah antibuli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan ibu bapa atau penjaga," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!