[VIDEO] Penghantar makanan jadi keldai dadah bawa syabu dari KL ke Kota Kinabalu
KOTA KINABALU - Upah yang lumayan lebih RM20,000 menyebabkan seorang penghantar makanan sanggup memperjudikan nyawanya menjadi 'keldai dadah' dengan membawa syabu sebanyak 24.5 kilogram syabu menerusi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.
Suspek lelaki berusia 24 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), pada jam 8.30 pagi Khamis lalu selepas pemeriksaan dilakukan terhadap dua bagasi yang dibawanya mengandungi syabu bernilai kira-kira RM800,000.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tangkapan dibuat hasil daripada pemantauan yang dilakukan sepasukan polis dari Narkotik Lapangan Terbang Kota Kinabalu bersama polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berhubung satu kegiatan pengedaran dadah dari Semenanjung ke negeri ini.
"Seorang lelaki ditahan dan terdapat dua bagasi dimilikinya telah diperiksa sebelum menemui 23 kotak bungkusan berlabel beras.
"Apabila bungkusan dalam kotak dibuka didapati bahawa mengandungi hablur disyaki syabu berjumlah 24.5 kilogram dan bernilai kira-kira RM800,000," katanya dalam sidang akhbar di IPK Sabah di sini pada Selasa.
Tambah beliau, susulan siasatan tersebut berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 28 tahun di sebuah hotel di sini disyaki sebagai dalang kepada sindiket pengedaran dadah tersebut.
"Kedua-dua suspek merupakan warga tempatan iaitu tangkapan pertama merupakan seorang penghantar makanan dan tangkapan kedua seorang ejen insurans.
"Menurut siasatan awal, suspek pertama membuat pengakuan bahawa dia telah melakukan penghantaran dari Kuala Lumpur ke negeri jiran yang bernilai RM10 juta dan terlepas.
"Suspek menerima upah RM1,000 bagi setiap satu kotak dadah dan ia dipercayai untuk edaran sekitar Sabah.
"Suspek ini lebih kepada sebagai keldai iaitu bawa dadah ke destinasi yang diarahkan oleh sindiket tersebut," katanya.
Jauteh berkata, jumlah dadah yang dirampas kali ini mampu membekalkan kepada 81,000 penagih di daerah sekitar Sabah.
"Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!