Arif Aiman perlu jaga reputasi baik, imej bersih

Insiden pergaduhan ketika aksi Liga Super JDT menentang Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Ahad.
Insiden pergaduhan ketika aksi Liga Super JDT menentang Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Ahad.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] BINTANG Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi diharap lebih bijak dalam mengawal emosi sekali gus tidak menjejaskan imej bersih dan reputasi baiknya selaku antara pemain paling bernilai di negara ini.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, Arif Aiman antara ikon dan idola bukan sahaja dalam kalangan peminat bola sepak tetapi juga ramai kanak-kanak yang mengagumi bakat dan kualiti dimilikinya.

Menurutnya, kejadian tersebut sememangnya dilihat bermula daripada tindakan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada namun, Arif Aiman perlu profesional untuk tidak melayan provokasi sehingga menumbuk pemain tersebut.

"Kerjayanya masih jauh dan dia juga seorang pemain yang bagus sedang mencipta nama.

"Ramai yang mahu melihat dia berjaya tanpa adanya insiden yang tidak diingini seperti ini.

"Jangan calarkan imej dengan perkara sebegini kerana Arif Aiman merupakan idola dan ikon dalam bola sepak kita," katanya kepada Sukan Sinar.

Dalam perlawanan itu, situasi tegang tersebut berlaku pada minit ke-83 selepas Tommy Mawat cuba menghalang larian Arif Aiman sebelum berlakunya pergaduhan.

Dalam keadaan kecoh itu, Tommy Mawat seperti mencekik Arif Aiman sebelum pemain JDT itu dilihat melepaskan tumbukan ke arah kepala pemain Perak itu ketika rakan sepasukan dan pengadil Razlan Joffri Ali cuba meleraikan pergaduhan.

Artikel Berkaitan:

Namun, turut menimbulkan tanda tanya tindakan Razlan yang hanya melayangkan kad kuning biarpun ramai berpendapat insiden tersebut seharusnya diakhiri dengan kedua-dua pemain dibuang padang.

Dalam pada itu, Mohd Sadek turut melihat kegagalan pengadil untuk melayangkan kad merah kepada Arif Aiman dan Tommy Mawat menyebabkan isu tersebut bertambah rumit.

"Kesilapan dilakukan pengadil itu bukan kecil tetapi besar dan menyebabkan kejadian itu menjadi bertambah rumit.

"Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kena melihat perkara ini dengan serius kerana ia menambahkan lagi ramuan dalam cerita yang tidak indah dalam bola sepak Malaysia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!