Anwar dijadual terima pingat El Sol del Peru dalam lawatan sulung ke Amerika Latin - Duta
LIMA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dianugerahkan pingat tertinggi Peru, 'El Sol del Peru' sebagai satu penghormatan tertinggi kepada ketua kerajaan semasa lawatan sulung beliau ke negara Amerika Latin sejak menggalas tanggungjawab berkenaan pada 2022.
'El Sol del Peru', adalah penghargaan tertinggi yang diberikan oleh Republik Peru, dengan gred Gran Cross dianugerahkan kepada raja, ketua negara, ketua kerajaan, menteri luar, menteri negara, duta besar asing yang telah diiktiraf atau presiden pihak berkuasa awam.
Duta Besar Malaysia ke Peru, Ahmad Irham Ikmal Hisham berkata, lawatan rasmi berkenaan, termasuk penyertaan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 pada 14 hingga 16 November dijangka meningkatkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Peru.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual tiba di Peru pada Selasa 12 November (13 November waktu Malaysia) bagi lawatan rasmi berkenaan.
"Dalam lawatan ini, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Peru Dina Ercilia Boluarte Zegarra di Istana Kerajaan Peru (Palacio de Gobierno),” katanya pada sidang media di sini pada Isnin.
Ahmad Irham berkata, antara perkara yang akan dibincangkan adalah status hubungan dua hala, perdagangan dan pelaburan serta meneroka kerjasama baharu dalam industri halal, pembangunan infrastruktur di samping pendidikan dan budaya bagi mengukuhkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Si dan pegawai kanan kerajaan.
Menurutnya, kedua-dua pemimpin akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala khususnya ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) serta dijangka menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang gastronomi dan halal.
Pertemuan dengan Tik Tok, Google
Perdana Menteri juga dijadual mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Peru bagi mempromosikan peluang perniagaan khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu dan industri digital.
"Wakil syarikat ternama dunia seperti Tik Tok dan Google dijadual menemui Perdana Menteri,” kata Ahmad Irham.
Bertemakan "Empower. Include. Grow,” AELM di bawah kepengerusian Peru akan memfokuskan kepada pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan, inovasi, pendigitalan dan pertumbuhan mampan.
Ini adalah kali ketiga kerajaan Peru menjadi tuan rumah kepada AELM selepas 2008 dan 2016.
Penglibatan Perdana Menteri di AELM termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC pada 14 November yang menyaksikan beliau sebagai antara ahli panel dalam sesi ‘Peluang dan Cabaran dalam Revolusi Kecerdasan Buatan’ (Opportunities and Challenges in the AI Revolution).
Pada 15 November, beliau dijadual menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC dengan Tetamu dan Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).
"Semasa Sesi Pemukiman AELM pada 16 November, Perdana Menteri akan menyampaikan intervensi Malaysia.
"Selain itu, beliau dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya daripada ekonomi APEC lain termasuk Jepun dan New Zealand,” katanya.
Sebagai antara ekonomi pengasas APEC, penyertaan aktif Malaysia AELM mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memajukan kerjasama ekonomi, mempromosikan kesejahteraan bersama dan mendorong pembangunan inklusif di seluruh rantau Asia Pasifik.
Ahmad Irham berkata, Perdana Menteri akan berkongsi keutamaan Malaysia di bawah Kerangka Ekonomi Madani yang menekankan keterangkuman, pembangunan mampan dan pengukuhan kerjasama untuk manfaat semua.
"Selain itu, Perdana Menteri akan turut konsisten dalam mengetengahkan isu-isu Global Selatan dan kepentingan integrasi ekonomi dalam mempertingkat pelaburan berimpak tinggi dan perdagangan lestari,” kata beliau.
Jumlah dagangan antara Malaysia dan Peru daripada Januari sehingga Julai 2024 berjumlah RM1.16 bilion, peningkatan 36.3 peratus berbanding RM847.7 juta bagi tempoh sama pada 2023.
APEC merupakan forum antara kerajaan yang menghimpunkan 21 negara anggota di Asia Pasifik bagi menggalakkan perdagangan bebas di rantau berkenaan.
Blok itu mewakili hampir 40 peratus daripada penduduk dunia, separuh perdagangan global dan lebih 60 peratus ekonomi global.
Malaysia adalah antara 12 negara pengasas APEC selain Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.
Ini diikuti penyertaan China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea pada 1993, Chile pada 1994 manakala Peru, Rusia dan Vietnam pada 1998, menjadikan keanggotaan penuh kepada 21 ekonomi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!