Polis masih mencari Buyong Gain, Kamal, Muhamad Shuqrie dan Lessha
KUANTAN - Polis masih menjejaki empat individu termasuk dua lelaki Orang Asli yang dilaporkan hilang di negeri ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, setakat ini siasatan masih dijalankan bagi mengesan individu berusia 21 hingga 67 tahun itu.
Menurutnya, tiga kes termasuk kehilangan dua lelaki Orang Asli dilaporkan di Rompin manakala satu kes di Jerantut.
"Antara kes dilaporkan termasuk kehilangan seorang lelaki Orang Asli warga emas, Buyong Gain, 67, yang dilaporkan hilang pada 15 September lalu selepas keluar dari rumahnya di Kampung Jemeri, Kuala Rompin.
"Kita juga masih mengesan Kamal Chandik, 27, yang dilaporkan hilang pada 14 Oktober lalu selepas keluar menoreh getah di kebun terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya di Kampung Kedaik, Kuala Rompin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.
Yahaya berkata, usaha turut dijalankan bagi mengesan pemuda dari Pulau Tioman, Muhamad Shuqrie, 24, yang dilaporkan hilang sejak 8 September lalu dan seorang gadis, J Lessha, 21, yang dilaporkan hilang di Jerantut oleh ahli keluarga selepas gagal dihubungi pada Oktober lalu.
Tambah beliau, Polis Kontinjen Pahang menerima 49 laporan kes orang hilang dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
"Daripada jumlah itu, 45 kes berjaya diselesaikan," katanya.
Sementara itu beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes kehilangan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dari Maran yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat, remaja terbabit dipercayai berada di sebuah negeri di utara tanah air dan usaha mengesannya sedang dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!