Bubbles O2, KTMB jalin kerjasama strategik
SYARIKAT Bubbles O2 terus memperkukuh jenama di pasaran melalui jalinan kerjasama strategik dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), pada Selasa.
Pengarah Urusan Bubbles O2, Ain Azizah Arifin berkata, kerjasama tersebut merupakan peluang berharga untuk memperkenalkan Bubbles O2 kepada pengguna terutama penumpang KTMB.
Menurutnya, perbincangan usahasama itu telah dimulakan sejak setahun lalu sebelum memeterai memorandum persefahaman (MoU).
"Kerjasama akan berlangsung selama setahun dan diteruskan melalui potensi peluang untuk dikembangkan.
"Alhamdulillah penerimaan Bubbles O2 semakin baik dalam kalangan pengguna dan diharap menerusi usahasama terbaharu ini akan terus mengembangkan lagi jenama ini di pasaran," katanya ditemui pada pelancaran kerjasama strategik antara KTMB dan Bubbles O2 serta MYTV Broadcasting di Stesen KL Sentral pada Selasa.
Kerjasama itu menawarkan pengalaman baharu di dalam perkhidmatan tren elektrik (ETS) di koc kelas perniagaan.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha dengan Pengerusi Bubbles O2, Arifin Marzuki serta Timbalan Presiden, Innovasi Dan Pembangunan Perniagaan MYTV, Syaffandi Shahrom.
Ain Azizah berkata, jualan menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 130 peratus dengan mencecah RM17 juta setakat 30 Jun lalu.
"Peningkatan tersebut merangkumi jualan di rangkaian sedia ada terutama di Petronas dan 7Eleven selain secara dalam talian.
"Selain memenuhi keperluan tempatan, Bubbles O2 juga telah melebar sayap ke pasaran luar termasuk Brunei, Dubai, Amerika Syarikat," katanya.
Sementara itu, Mohd Zain berkata, melalui kerjasama ini, syarikat penyedia infrastruktur penyiaran TV digital percuma negara, MYTV melalui aplikasi MYTV Mana-Mana akan memperkenalkan saluran TV dan radio serta hiburan interaktif dan eksklusif di dalam sistem Visual On Demand
"Sementara Bubbles O2 merupakan syarikat tempatan yang semakin berkembang di peringkat antarabangsa akan membekalkan air mineral beroksigen semula jadi.
"Penumpang perkhidmatan tren ETS Kelas Perniagaan kini boleh melayari saluran TV atau radio yang terdapat di rangkaian MYTV Mana-Mana secara percuma sambil menikmati kesegaran air mineral beroksigen tinggi bersama sajian makanan sepanjang tempoh kerjasama ini," katanya.
Tambah beliau, sejumlah 625,113 penumpang ETS koc kelas perniagaan telah direkod sejak diperkenalkan pada Oktober 2019.
"Dengan kerjasama strategik ini, ia dapat memberi nilai tambah bagi meningkatkan keselesaan dan kepuasan penumpang seterusnya memberi pengalaman perjalanan lebih berkualiti.
"Secara tidak langsung, ia juga meningkatkan penjenamaan ETS untuk lebih dikenali di persada nasional dan antarabangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!