MALBATT: Kementerian Pertahanan sedia tindakan alternatif
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan telah sedia dengan tindakan alternatif membabitkan pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan sama ada MALBATT terus kekal atau sebaliknya tertakluk dengan keputusan yang dibuat oleh Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL).
"Kita adalah pasukan MALBATT, maknanya pegawai pemerintahnya ialah UNIFIL yang dibentuk oleh PBB.
"Pasukan kita (MALBATT) dihantar dan di bawah tanggungjawab mereka (UNIFIL) yang akan membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Integriti 2024 Kementerian Pertahanan Malaysia di Wisma Pertahanan di sini, pada Selasa.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Mengulas lanjut, kata Mohamed Khaled, pihaknya sentiasa berhubung dengan UNIFIL untuk mendapatkan maklumat selain apa-apa tindakan segera yang boleh diambil.
"Ini bagi memastikan bahawa anggota pasukan kita berada dalam keadaan selamat," ujarnya.
Pada Khamis lepas, enam anggota MALBATT cedera ringan susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada 1.54 tengah hari waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia.
Lima cedera melibatkan anggota MALBATT 850-12 dan seorang lagi membabitkan anggota MALBATT 850-11.
Letupan tersebut menyasarkan sebuah kenderaan awam lain sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.
6 November, seramai 220 anggota MALBATT 850-12 kumpulan pertama berlepas ke Lubnan bagi menjalankan misi pengaman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!