Kerajaan digesa pinda Akta Pemberi Maklumat 2010
SHAH ALAM - Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan Madani untuk memperkasakan komitmen terhadap Strategi AntiRasuah Kebangsaan 2024-2028 (NACS) yang dilancarkan pada awal tahun ini.
Presidennya, Dr Muhammad Mohan berkata, Malaysia turut meletakkan sasaran untuk berada di dalam kelompok 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah Global dan meminda Akta Pemberi Maklumat 2010 di bawah Strategi 4: Penguatkuasaan.
"Ia susulan keadaan di mana pemberi maklumat semakin takut dan tidak yakin untuk melaporkan sebarang salah laku, persepsi peningkatan rasuah akan terus membarah. Kejujuran serta integriti adalah asas keadilan dalam membentuk sebuah negara demokrasi yang berdaya maju.
"Budaya pemberi maklumat ini akan menjadi tonggak utama dalam membanteras gejala rasuah di Malaysia. Namun, sokongan dan pengiktirafan kerajaan terhadap usaha murni sebegini wajar diketengahkan dengan lebih meluas.
"Kerajaan seharusnya memainkan peranan penting dalam melindungi pemberi maklumat sewajarnya. Keadilan haruslah menghargai kebenaran dalam menentang kezaliman," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai satu video yang dimuat naik sebuah portal berdurasi 17 saat yang memaparkan rakaman suara perbualan didakwa melibatkan ADUN Sabah dan kontraktor berhubung kegiatan rasuah dan suara ADUN tersebut didakwa milik Dr Yusof namun setakat ini belum ada kesahihan mengenainya.
Sebuah portal berita baru-baru ini turut mendedahkan lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit sehingga RM4 juta yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.
Mengulas lanjut, Muhammad Mohan berkata, kejadian itu merupakan contoh senario masa kini yang menonjolkan penularan perlakuan rasuah di dalam arena politik Malaysia.
Ujarnya, rasuah politik dan salah guna kuasa telah lama menjadi penghalang kepada pembangunan demokrasi yang lebih berdaya maju di Malaysia sejak merdeka.
"Berpuluh tahun sudah berlalu, pelbagai projek telah dicemari gejala rasuah yang melibatkan ahli politik. Perbuatan ini mencemari proses kelulusan projek, lesen dan proses kerajaan.
"Hal ini menyebabkan hanya sebilangan kecil pemberi maklumat yang berani untuk mendedahkan kes rasuah kerana faktor pecah amanah dan ketakutan akan impak tindakan mereka.
"Walaupun TI-M kekal berdiri teguh dan proaktif dalam advokasi menentang elemen salah laku sebegini, keberanian dan kejujuran pemberi maklumat dalam membanteras perilaku rasuah dalam masyarakat masa kini amatlah penting, khususnya daripada individu berpengaruh dalam negara ketika ini," katanya.
Tambah beliau, sekiranya tiada perlindungan yang utuh mampu dijanjikan kepada para pemberi maklumat, pihaknya bimbang bahawa keyakinan individu tersebut untuk menyampaikan kebenaran akan tergugat dalam ketidaktentuan proses keadilan.
Jelasnya, kegusaran pemberi maklumat untuk tampil kehadapan berpunca daripada kelompongan Akta Pemberi Maklumat 2010, khususnya dengan ketiadaan mekanisme jelas berkaitan perlindungan yang mampu mengancam keyakinan untuk terus berlaku jujur.
"Beberapa klausa di dalam Akta Pemberi Maklumat 2010 ini juga dilihat mengurangkan keberkesanannya seperti klausa di mana perlindungan kepada pemberi maklumat akan ditarik balik sekiranya pemberi maklumat berkenaan didapati terlibat dengan salah laku berkaitan kes yang beliau laporkan.
"Advokasi berterusan untuk menambah baik Akta Pemberi Maklumat 2010 ini telah dilaksanakan sekian lama oleh para organisasi masyarakat, baik yang bebas mahupun yang berkait dengan pihak Kerajaan.
"TI-M menggesa agar tindakan lebih proaktif dilaksanakan dalam mengetengahkan reformasi terhadap akta ini setelah 14 tahun telah berlalu sejak akta ini mula berkuatkuasa. Kami percaya, sudah tiba masanya pindaan penambaikan terhadap akta ini dipertimbangkan demi perlindungan pemberi maklumat yang lebih baik," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!