Kebakaran Hospital Papar: Kos ubat musnah cecah RM1.3 juta

Hajiji meninjau keadaan Hospital Papar yang terjejas akibat kebakaran.
Hajiji meninjau keadaan Hospital Papar yang terjejas akibat kebakaran.
A
A
A

PAPAR - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dimaklumkan kos ubat-ubatan yang rosak akibat kebakaran melibatkan stor farmasi di Hospital Papar mencecah RM1.3 juta.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mencari jalan bagaimana untuk membantu hospital tersebut termasuk pembinaan bangunannya yang musnah akibat kebakaran pada malam Isnin.

"Tadi kita mendapat penerangan sebab kebakaran masih lagi disiasat pihak bomba. Tetapi kita juga melawat untuk melihat keadaan sebenarnya.

"Jadi saya dimaklumkan dari segi ubat-ubatannya yang rosak dan sebagainya kosnya lebih kurang RM1.3 juta manakala bangunannya belum lagi dapat ditentukan (nilai kerosakan).

"Kita akan meminta kerajaan Persekutuan supaya membina semula bangunan menyimpan ubat yang rosak itu nanti," katanya kepada pemberita ketika melawat Hospital Papar di sini pada Selasa.

Hajiji dalam pada itu turut menyampaikan penghargaan kepada pihak bomba yang bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hospital tersebut.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba. Yang penting selamat, tiada kecelakaan nyawa," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berharap pembinaan bangunan baharu di hospital itu dapat disiapkan secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna dalam kenyataannya memaklumkan, pesakit yang kurang stabil dan memerlukan rawatan serta penjagaan rapi telah dirujuk ke hospital berdekatan.

"Pihak Hospital Papar dengan kordinasi bersama Ibu Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah mengaktifkan pelan kontigensi untuk memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terganggu, serta sentiasa siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!