Irfan sempat hantar abang, kakak ke sekolah sebelum maut kemalangan
KUALA TERENGGANU - Kanak-kanak yang maut bersama bapanya selepas ditimpa kemalangan ketika perjalanan ke tabika sempat menghantar kakak dan abangnya ke sekolah pada pagi Isnin.
Kemalangan kira-kira jam 7.45 pagi itu menyebabkan Muhammad Daim Irfanshah, 6, maut di lokasi kejadian manakala bapanya Saiful Azrin Awang, 42, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu sekitar jam 12 tengah hari.
Ibunya, Norazilah Mamat, 42, berkata, sudah menjadi rutin harian Muhammad Daim Irfanshah atau lebih mesra digelar Irfan mengikut bapanya pada setiap pagi.
Menurutnya, kereta yang biasa digunakan rosak dan tayar bocor menyebabkan suaminya terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah dengan menaiki motosikal.
"Selama ini dia tak pernah berenggang dengan ayahya. Sebelum kemalangan semalam, dia beritahu nak ikut ayah dia hantar abang dan kakak ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang.
"Saya tak sangka pagi semalam kali terakhir kami bercakap, waktu tu Irfan dan bapanya pulang semula ke rumah selepas hantar abang dan kakak ke sekolah.
"Ketika itu, arwah suami tak begitu banyak cakap, cuma dia beritahu tak sempat tukar seluar lain kerana tersilap memakai seluar lusuh. Mereka berdua keluar semula untuk ke tabika dalam jam 7.30 pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Selasa.
Menurut Norazilah, dia menerima khabar duka mengenai kemalangan menimpa anaknya yang merupakan anak keempat daripada lima beradik dan suaminya sekitar jam 8 pagi.
"Dalam jam 8 lebih saya dapat panggilan mengatakan anak dan suami saya kemalangan. Waktu tu hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu perasaan saya.
"Saya kelu tak terkata apa-apa, rasa hilang tempat bergantung sebab selama ni memang berharap sepenuhnya kepada suami kerana saya tidak bekerja dan menjaga anak-anak termasuk yang masih kecil berusia setahun lebih," ujarnya.
Norazilah yang tinggal di Kampung Alor Lik, di Setiu berkata, jenazah suami dan anaknya itu dikebumikan di tanah perkuburan dekat kampung berkenaan pada petang Isnin.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2003 itu dikurniakan lima anak termasuk Nazira Shahiza, 19, Amalin Shahila, 16, Mohd Danial Hakim, 13, dan Muhammad Dian Aryan Shah berusia 15 bulan.
Sebelum itu, Norazilah turut menerima kunjungan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Terengganu (KEMAS), Dr Faridah Mat.
Menurut Faridah, pihaknya akan membantu keluarga itu bagi urusan insurans dan wang bantuan pengurusan jenazah.
"Arwah adik Irfan merupakan murid di Tabika Kemas Kampung Alor Lik dan pihak Kemas akan berusaha membantu meringankan bebanan keluarga ini.
"Kita difahamkan arwah suami hanya menjalankan kerja-kerja kampung manakala isteri tidak bekerja.
"Diharap dengan wang yang mereka peroleh ini ia sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan keluarga," ujarnya.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan dua beranak maut apabila motosikal dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer (KM) 15, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris, di Hulu Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!