Ketimbang, maha kaya antara 12 perkataan baharu dalam kamus talian DBP

Fadhlina
Fadhlina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Maha kaya, peluncuran dan ketimbang menjadi antara 12 perkataan baharu yang dimasukkan pada kamus dalam talian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Perkataan-perkataan tersebut merupakan sebutan yang sering digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika mengesahkan perkara itu berharap masyarakat dapat menerima perbendaharaan bahasa Melayu terus hidup dan sedang berkembang.

"Sebagai bahasa yang hidup, kosa kata bahasa Melayu sentiasa berkembang penggunaannya. Ada yang suatu ketika dahulu kerap digunakan, kini sudah dianggap klasik.

"Contohnya dahulu digunakan tetuang udara namun kini, radio. Perkataan ujana yang dianggap klasik kini meluas digunakan yang merujuk taman. Ujana ilmu yang bermaksud taman ilmu, ujana buku bermaksud taman yang dipenuhi buku-buku.

"Sama ada sedar atau tidak, sudah banyak kata serantau alam Melayu atau Nusantara yang terserap ke dalam bahasa Melayu kita," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat.

12 perkataan baharu yang dimasukkan dalam kamus talian DBP
12 perkataan baharu yang dimasukkan dalam kamus talian DBP

Dalam pada itu beliau menjelaskan, ketimbang adalah perkataan yang terdapat dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia bermaksud kata untuk menandai perbandingan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkataan tersebut sama erti atau bersinonim dengan kata daripada.

Bagi perkataan peluncuran pula, beliau berkata, ia mempunyai maksud sama dengan pelancaran, iaitu hal atau perbuatan memperkenalkan produk atau program yang semakin banyak digunakan oleh pengguna bahasa Melayu sebagai variasi dalam konteks bersesuaian.

"Bukan sahaja kata serantau, malah kata-kata dialek, bahasa sukuan dan sebagainya ada yang sudah diterima sebagai bahasa standard.

"Dalam konteks ini, perkataan peluncuran mengalami peluasan makna yang kedua-dua perkataan itu ditemukan penggunaannya dalam bahasa Melayu berdasarkan carian pangkalan data korpus bahasa Melayu yang dibangunkan oleh DBP, cuma belum terakam dalam kamus terbitan DBP," jelasnya.

Beliau memaklumkan, perkataan tersebut akan dimasukkan dalam edisi kedua Kamus Dewan Perdana (2020).

Ujarnya, perakaman kata dan makna baharu dalam kamus diusahakan dari semasa ke semasa selari perkembangan kosa kata bahasa Melayu dan berdasarkan bukti penggunaannya oleh masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!