Pneumonia ancam kesihatan kanak-kanak
SHAH ALAM - Pneumonia Pneumokokal atau penyakit dicetuskan oleh jangkitan pernafasan menjadi ancaman kesihatan yang meragut nyawa kanak-kanak di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4life, Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, pada tahun 2021, penyakit itu berada di kedudukan ketiga punca kematian kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.
“Terkini menurut laporan DOSM 2024, pneumonia adalah punca kedua kematian dalam kalangan kanak-kanak yang berumur 14 tahun ke bawah,” katanya katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Pneumonia Sedunia 2024, pada Selasa.
Tambah beliau, pneumonia direkodkan sebagai penyebab utama kematian di negara ini pada 2023, mengatasi penyakit jantung iskemik, serebrovaskular atau strok dan kemalangan jalan raya.
Ujar Dr Zulkifli, data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu menjadi peringatan menjelang Hari Pneumonia Sedunia 2024 yang disambut pada 12 November dengan tema Menyahut Perjuangan Memerangi Pneumonia.
“Statistik ini sangat membimbangkan. Pneumonia lazimnya dicetuskan oleh jangkitan pernafasan contohnya, influenza, penyakit pneumokokal dan sebagainya.
“Apabila jangkitan menjadi semakin teruk, mereka akan mengalami kesesakan nafas, menghasilkan bunyi berdehit ketika bernafas, mengalami kesakitan dada dan berasa keliru.
“Semua ini boleh menjadi tanda-tanda penyakit pneumonia. Ia boleh dicegah dan terdapat dua jenis vaksin pneumokokal yang tersedia di Malaysia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!