[VIDEO] 136 OKU dilantik penjawat awam sejak 2023

A
A
A

KUALA LUMPUR- Seramai 136 orang kurang upaya (OKU) telah dilantik menjadi penjawat awam sejak dua tahun lalu.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, bagi tahun 2023, SPA telah menerima sebanyak 6,177 permohonan dari calon OKU berbanding 1.19 juta keseluruhan permohonan (0.52 peratus).

Menurutnya, seramai 92 orang calon OKU telah dilantik berbanding jumlah keseluruhan pelantikan sebanyak 25,520 orang atau 0.36 peratus.

Dr Zaliha pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, pada Selasa. Foto Bernama
Dr Zaliha pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, pada Selasa. Foto Bernama

“Kategori calon kurang upaya fizikal merupakan pelantikan tertinggi melibatkan 74 orang. Ia diikuti dengan kurang upaya penglihatan (9 orang), kurang upaya pendengaran (5 orang), kurang upaya pelbagai (2 orang), kurang upaya pertuturan (1 orang) dan kurang upaya mental (1 orang).

“Sementara sehingga 30 September 2024, SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) telah menerima sebanyak 4,805 permohonan berbanding 1.13 juta keseluruhan permohonan (0.42 peratus).

“Seramai 44 orang OKU telah dilantik berbanding jumlah keseluruhan pelantikan sebanyak 13,491 orang (0.33 peratus) di mana 39 orang dari kategori kurang upaya fizikal, kurang upaya pendengaran (3 orang), kurang upaya mental (1 orang) dan kurang upaya penglihatan (1 orang),” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang bertanyakan statistik pelantikan OKU dalam perkhidmatan awam dan langkah menangani ketidakseimbangan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Dr Zaliha, SPA sentiasa menyarankan kementerian, jabatan dan pejabat setiausaha kerajaan negeri yang berada di bawah bidang kuasanya supaya meningkatkan peluang OKU mengisi kekosongan jawatan, khususnya skim perkhidmatan yang tidak mensyaratkan ukuran fizikal dan pancaindera.

Jelasnya, ia bagi mencapai dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian UP.1.3.6.

“SPA membuat pelantikan berdasarkan merit dan kompetensi seseorang calon.

"Syarat pelantikan OKU adalah sama dengan pelantikan calon yang lain iaitu berdasarkan syarat lantikan skim perkhidmatan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan keperluan ketua perkhidmatan seperti keutamaan bidang pengajian/kelayakan, serta lokaliti atau jantina.

"Menyedari proses pelantikan adalah ‘kunci’ kepada kejayaan dasar 1 peratus OKU dalam perkhidmatan awam, SPA juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha meningkatkan pengambilan calon OKU," ujar beliau.

Ujar beliau, ia termasuk integrasi maklumat calon OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam Sistem Pendaftaran Pekerjaan SPA (SPA9).

Selain itu, pengecualian menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE), berbanding dengan penjawat awam lain, mereka perlu melalui proses ini, tetapi diberi pengecualian kepada mereka yang OKU.

“Kelonggaran syarat dasar ‘One Step Lower’ juga dibuat, yang mana calon OKU boleh memohon jawatan di gred yang lebih rendah daripada kelayakan akademik yang dimilikinya.

“Bagi ‘menyambut’ OKU pula, yang bertanggungjawab ialah JPA memastikan deskripsi tugas, persekitaran tempat kerja, dan penerimaan ketua jabatan adalah mesra dan sesuai OKU,” katanya.

-end-

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!