Status halal Malaysia lebih dipercayai punca minyak masak peket diseludup ke Thailand
TUMPAT - Status halal di Malaysia yang lebih dipercayai menjadi punca utama minyak masak peket dari negara ini diseludup masuk ke Selatan Thailand yang majoriti rakyatnya beragama Islam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, kerana itu ia mendapat permintaan tinggi serta menghasilkan keuntungan berganda menyebabkan aktiviti tersebut menjadi lebih rancak.
"Harga di sini sekitar RM2.50 sepeket manakala di negara jiran mencecah sehingga RM5 hingga RM6.
"Sudah tentu ini boleh mengaburi mata mereka yang 'tamak' sehingga sanggup melakukan aktiviti tidak bermoral tersebut," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.
Sebelum itu beliau mengadakan lawatan ke pemborong sempena pengurusan bencana bagi kesiapsiagaan keberadaan bekalan barangan keperluan di Wakaf Bharu di sini.
Menurutnya, dalam usaha membendung penyelewengan barangan kawalan itu, agensi yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ramai lagi telah melakukan yang terbaik.
Ujarnya, ia dibuktikan menerusi kejayaan rampasan pelbagai barangan kawalan yang cuba diseludup ke negara jiran.
Azman bagaimanapun berkata, semua pihak berkuasa sentiasa bekerjasama untuk membanteras kegiatan penyeludupan di sempadan.
"Jarak sempadan melibatkan Sungai Golok dari Tumpat ke Jeli hampir 100 kilometer (km) dan sebagaimana sedia maklum ianya bukan rizab sungai tetapi tanah milik persendirian.
"Maklumat risikan pun kita kongsi. Setakat ini setiap kali serbuan dan tangkapan dibuat hanya melibatkan individu berkaitan pengangkutan.
"Dari situ kita akan siasat untuk mengesan siapa pemborong atau dalang disebaliknya dengan memeriksa invois dan sebagainya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!