Singapura, Hong Kong tarik diri Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s
KUALA LUMPUR - Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s akan berlangsung seperti dijadual, bermula 28 Februari hingga 1 Mac ini walaupun pasukan dari Hong Kong dan Singapura menarik diri di saat akhir susulan penularan koronavirus.
Pengarah kejohanan berkenaan, Amrul Hazarin Hamidon berkata, hanya tiga pasukan Asia Tenggara iaitu dari Thailand, Brunei dan Indonesia akan menyertai kejohanan edisi ke-10 itu.
"Pada kebiasaannya, setiap tahun kita akan jemput 10 pasukan luar negara untuk sertai kejohanan ini. Tahun ini pada awalnya, lima pasukan telah sahkan penyertaan.
"Bagaimanapun disebabkan koronavirus, dua pasukan tarik diri. Ada positifnya juga kerana kita boleh beri peluang kepada pasukan tempatan untuk mengisi kekosongan itu," katanya pada sidang akhbar kejohanan itu di sini hari ini.
Beliau berkata, pada penganjuran tahun lepas, hanya pasukan juara peringkat sekolah menengah di negeri-negeri dipilih menyertai kejohanan itu namun disebabkan ada pasukan luar negara menarik diri pada edisi kali ini, ia memberi peluang kepada pasukan naib juara untuk turut bersaing pada pertandingan tersebut.
Edisi kali ini menyaksikan 24 pasukan dari sekolah menengah tempatan dan luar negara berentap untuk merebut piala berprestij dikenali sebagai Trofi NJ Ryan.
Kejohanan bakal diadakan di Kuala Kangsar, Perak itu kini cukup popular sebagai antara pertandingan ragbi 7s peringkat sekolah menengah berprestij di Malaysia, yang berjaya mencungkil bakat baharu sukan ragbi tempatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!