Teknologi deepfake boleh sabotaj seseorang individu - Pakar

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Shuzlina
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Shuzlina
A
A
A

SHAH ALAM - Teknologi ‘deepfake’ membolehkan penciptaan video palsu dilakukan termasuk mensabotaj seseorang dalam situasi yang dirancang.

Pensyarah Kanan, Ketua Kumpulan Inisiatif Penyelidikan Sistem Pintar (RIGIS) Pengajian Sains Pengkomputeran, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Shuzlina Abdul Rahman berkata, kecerdasan buatan (AI) itu mampu menghasilkan audio dan video yang kelihatan sangat realistik.

“Ia termasuk video menyerupai wajah dan suara seseorang dalam situasi yang mungkin tidak pernah berlaku.

“Teknologi ‘deepfake’ itu boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham. Teknik AI ini mampu mempelajari data dari gambar serta suara yang banyak untuk meniru gaya penampilan individu tertentu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan beliau terlibat dalam skandal rasuah baru-baru ini.

Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad tersebut menganggap, mungkin ada pihak mengambil kesempatan penggunaan teknologi AI yang meluas ketika ini dengan mengaitkannya berhubung perkara berkenaan.

Dalam pada itu, Shuzlina memaklumkan, dalam konteks politik membolehkan video tersebut digunakan untuk menabur fitnah atau menimbulkan kesan negatif terhadap seseorang terutama jika disebarkan kepada khalayak ramai.

“Tidak dinafikan boleh guna untuk mensabotaj seseorang terutamanya dalam aspek reputasi.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukan suatu perkara yang baharu, ia telah diguna pakai oleh ahli politik luar negara untuk memanipulasi isu dalam sesuatu pilihanraya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, dalam politik atau perniagaan reputasi adalah aset yang penting.

Tambahnya, jika seseorang berniat ingin merosakkan imej individu berpengaruh, AI ialah alat efektif dan berisiko tinggi terutama jika terjatuh ke tangan yang salah.

“Saya melihat perkara ini sebagai isu yang memerlukan perhatian serius. Jadi untuk pastikan AI digunakan dengan beretika, kita perlu menetapkan penguatkuasaan undang-undang serta peraturan ketat.

“Saya setuju bahawa teknologi itu harus diselia secara bertanggungjawab agar tidak disalah guna untuk tujuan yang memudaratkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!