OKU Proka mampu hasilkan lebih 50 jenis perabot
KOTA BHARU - Kecacatan fizikal dan anggota penghuni Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya Kelantan (Proka) tidak menghalang mereka untuk menghasilkan perabot berkualiti tinggi yang ditempah dari seluruh negara.
Kesemua 42 peserta Proka mengalami kecacatan membabitkan kategori anggota, pendengaran dan buta.
Pengurus pusat berkenaan, Nur Amirah Lukman berkata, penghuni yang berusia 17 hingga 70 tahun itu mampu menghasilkan lebih 50 jenis perabot termasuk set kerusi dan meja sekolah.
"Walaupun tidak sempurna namun kudrat dan kebolehan golongan ini sangat diperlukan kerana kerja-kerja pertukangan mereka lebih kemas dan teliti," katanya ketika ditemui di pusat itu pada Selasa.
Jelasnya, ada dalam kalangan penghuni tinggal di asrama dengan kemudahan lengkap disediakan bagi membolehkan mereka selesa bekerja.
"Mereka akan memulakan kerja pada jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap Ahad hingga Khamis," katanya.
Sementara itu, ketua tenaga pengajar, Mohamad Hassan, 65, berkata, OKU itu mampu mengendalikan mesin untuk memotong dan melicinkan kayu sekali gus memudahkan perabot disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
Tambahnya, kebanyakan mereka yang memulakan tugas di situ tidak mempunyai asas pertukangan tetapi diberi bimbingan sehingga mampu menghasilkan perabot berkualiti.
Katanya lagi, perabot di pusat itu dihasilkan daripada kayu meranti yang dibekalkan oleh beberapa kilang kayu di Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang.
"Selain agensi kerajaan, ramai pelanggan kami terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan syarikat korporat," katanya.
Menurutnya, harga perabot yang ditawarkan bermula pada harga RM200 namun bergantung pada material dan kaedah pembuatan.
Jelas Mohamad lagi, komunikasi bersama OKU tidak menjadi masalah kerana beliau boleh menggunakan bahasa isyarat dengan baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!