Tindakan Israel jejaskan harapan untuk kewujudan bersama - Setiausaha Agung Liga Arab

Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi. Foto Xinhua
Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi. Foto Xinhua
A
A
A

RIYADH - Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit menegaskan bahawa strategi semasa Israel bertujuan untuk menghapuskan komuniti Palestin di Gaza sama ada melalui pemindahan secara paksa atau sukarela, sekali gus memusnahkan keseluruhan masyarakat serta institusi dan sosialnya.

Beliau menyatakan bahawa tindakan ini akan menghapuskan peluang untuk pemulihan masa depan dan menggugat aspirasi rakyat Palestin untuk sebuah negara merdeka.

Kenyataan itu dibuat ketika Aboul Gheit menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam yang berlangsung di Riyadh pada Isnin, lapor Agensi Berita Saudi (SPA)

Beliau berkata, bahawa tindakan Israel menjejaskan harapan untuk kewujudan bersama di rantau ini dan menghalang potensi perdamaian yang berasaskan keadilan.

Sidang kemuncak hari ini menyampaikan mesej yang jelas: dunia tidak dapat menanggung kesan keganasan yang berterusan, yang mengancam kestabilan seluruh rantau, katanya.

"Ketiadaan hukuman atau tindakan tegas terhadap Israel telah memberi keberanian kepadanya untuk melaksanakan rancangan yang tidak dapat digambarkan.

"Timur Tengah tidak akan mengabaikan perjuangan untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat di sepanjang garis sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” kata Aboul Gheit.

Beliau menegaskan bahawa pengeboman di Lubnan masih berterusan, menyebabkan orang awam terbunuh serta kerosakan harta persendirian dan awam.

Artikel Berkaitan:

"Bilangan angka korban terus meningkat, dan nasib sejuta individu yang kehilangan tempat tinggal semakin merosot, seterusnya membebankan negara yang sudah mengalami krisis yang berpanjangan.

Gencatan senjata mesti diwujudkan di Lubnan, bergantung kepada pelaksanaan penuh Resolusi No. 1701 dalam semua fasa untuk memastikan keselamatan di kedua-dua sempadan,” katanya mengakhiri ucapan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!