Pemborong dadah terbesar di Johor tumpas, 7 ditahan

Kumar (tiga, kanan), bersama sebahagian dadah dan rampasan pada sidang akhbar di IPK Johor pada Selasa.
Kumar (tiga, kanan), bersama sebahagian dadah dan rampasan pada sidang akhbar di IPK Johor pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis Kontinjen Johor menumpaskan sindiket pemborong dadah yang dipercayai terbesar di negeri ini hasil rampasan dan sitaan berjumlah RM28.31 juta.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, siasatan mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah membeli dadah, membungkus dan menjualnya semula ke pasaran.

"Polis Kontinjen Johor telah melakukan tiga serbuan di sekitar daerah ini, Kluang serta Iskandar Puteri dan pihak polis telah menahan seramai tujuh suspek melibatkan tiga lelaki dan dua wanita warga tempatan selain dua wanita warga asing.

“Siasatan mendapati kesemua suspek yang ditahan berusia 27 hingga 62 tahun.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis Amphetamine dan ketamin,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini, pada Selasa.

Tambahnya, dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas dadah seberat 158,844.8 gram (g) atau 7,358 peket serbuk disyaki ektasi selain 7,098g (21,510 biji pil disyaki ektasi), 3,000g (11,500 biji pil disyaki erimin 5) dan 6,110g atau 24 paket disyaki ketamin.

Justeru katanya, jumlah dadah yang dirampas dalam operasi ini dipercayai merupakan rampasan dadah terbesar untuk tahun ini.

"Berdasarkan kepada jumlah dadah yang dirampas, kita percaya ia boleh digunakan oleh seramai 857,784 orang penagih jika terlepas ke pasaran.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita turut merampas peralatan memproses dan pembungkusan semula dadah serta menyita empat kereta, wang tunai berjumlah RM12,200, pelbagai jenis barang kemas, pelbagai mata wang asing berjumlah RM2,961 dan menjadikan jumlah rampasan dadah dan sitaan mencecah lebih RM28.58 juta," katanya.

Sementara itu Kumar berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menjadikan rumah teres berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan untuk pasaran di Kluang dan Johor Bahru.

Katanya, sindiket yang telah bergiat aktif aktif sejak Ogos lalu itu menjual dadah dengan harga antara RM200 hingga RM250 bagi satu peket dadah.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif amphetamine dan ketamin manakala hasil semakan rekod lampau mendapati seorang suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.

"Kesemua suspek, kini direman sehingga Khamis ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua suspek warga asing, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!