Mindef perkukuh tatakelola pengurusan, pertingkat program integriti
KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan hari ini menyambut Hari Integriti 2024 dengan menekankan aspek peningkatan prosedur dalam tadbir urus, usaha mencegah penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, dan pematuhan kepada arahan kerajaan yang ditetapkan.
Sambutan ini yang dirasmikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Auditorium kementerian merupakan inisiatif untuk memperkukuh tatakelola dan membendung isu salah laku, terutamanya dalam menangani gejala rasuah dalam kalangan warga kementerian.
"Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan sebagai tindak balas terhadap hasrat Malaysia Madani dalam memperbaiki tatakelola pengurusan kementerian ini.
"Kerjasama semua peringkat penting bagi mengelakkan ketidakpatuhan, dengan setiap individu diharap bersedia melaporkan sebarang salah laku yang berlaku,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Majlis perasmian itu turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang menyaksikan sesi lafaz Ikrar Bebas Rasuah, diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali bersama 450 warga kementerian dari kalangan perkhidmatan awam serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datin Roszanina Wahab; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim serta pegawai-pegawai kanan awam dan ATM.
Mengikut kenyataan itu, Lokman Hakim dan Azam turut menandatangani ikrar yang disaksikan oleh Menteri Pertahanan.
Bagi menggalakkan budaya integriti yang kreatif dan inovatif, sambutan tahun ini turut diserikan dengan aktiviti sampingan seperti Swafoto Integriti, TikTok Integriti, Teka Silang Kata, Kuiz Kahoot sepanjang November, serta tayangan filem berunsur integriti yang dijadualkan pada 13 November.
Sementara itu, Mohamed Khaled ketika berucap pada majlis itu berkata, pihak kementerian komited untuk menyemak dan membuat segala pembaharuan yang bersesuaian bagi memastikan sistem kerja tidak lapuk, tidak membuang masa atau membazirkan sumber.
"Kita akan berusaha bersungguh-sungguh mewujudkan satu ekosistem dan persekitaran yang menyuburkan integriti yang sifatnya antikorupsi, anticulas dan antikhianat,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!