Kongsi kepentingan zakat perniagaan
KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengadakan program 'Meet & Greet' bersama wakil firma perakaunan dan percukaian bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan zakat perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, seramai 38 wakil firma itu menyertai program yang diadakan di Hotel Grand Puteri di sini, pada Selasa.
Menurutnya, antara objektif program itu bagi memastikan takziran yang dilakukan terhadap zakat perniagaan mengikut kaedah yang betul mengikut pengiraan zakat di Terengganu.
"Taksiran zakat perniagaan ini ada item tertentu yang mungkin ketika buat pelarasan aset semasa, ia berbeza antara satu negeri dengan negeri lain walaupun jumlah itu dalam julat yang kecil.
"Ia kerana zakat perniagaan dan zakat-zakat lain tertakluk kepada peraturan yang ada di sesebuah negeri," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menyempurnakan majlis tersebut di sini.
Menurut Ahmad Azrin, zakat perniagaan merupakan penyumbang kedua terbesar kutipan zakat di Terengganu selepas zakat pendapatan.
Jelasnya, berdasarkan kutipan semasa, sebanyak RM201 juta zakat berjaya dikumpul setakat tahun ini dengan jumlah agihan RM271 juta.
Katanya, maklumat berkaitan kutipan dan agihan zakat itu boleh diakses secara terus melalui aplikasi Sahabat MAIDAM.
"Bermula 2016 lalu, jumlah agihan zakat di Terengganu melebihi jumlah kutipan, hanya pada tahun 2020 dan 2021 jumlah kutipan lebih besar daripada agihan kerana faktor Covid-19 dan selepas 2021 ia kembali seperti biasa
"Kita akan memperbanyakkan program-program kesedaran dimana ada lapan program yang akan dijalankan berkaitan zakat termasuk pada hujung tahun nanti," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan MAIDAM, Norhana Yaakob berkata, program tersebut menekankan kesedaran mengenai zakat perniagaan dan wakalah.
"Terdapat banyak isu-isu untuk difahami terutama melibatkan pengendalian kepada wakalah iaitu zakat yang diwakilkan kepada pembayar tetapi untuk diagihkan sendiri.
"Selain itu kita juga memberi penerangan mengenai rebat cukai iaitu layanan cukai kepada item zakat misalnya jika seseorang itu membayar zakat apa layanan dia akan peroleh tertakluk kepada jenis pembayaran,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!