Pegawai pemasaran hidup mewah rupanya pengedar dadah
SHAH ALAM - Hidup mewah seorang pegawai pemasaran yang meraih pendapatan antara RM30,000 hingga RM50,000 sebulan dengan menjual dadah terbongkar menerusi rampasan pelbagai bentuk ganja bernilai RM6.2 juta dalam serbuan di sebuah kondominium di Damansara pada Rabu.
Suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu dipercayai bergerak secara solo dengan menjual pelbagai jenis dadah termasuk makanan ringan mengandungi ganja sejak setahun lalu.
Suspek turut menyewa sebuah kondominium yang dijadikan lokasi membungkus semula ganja berkenaan sebelum dijual secara dalam talian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berumur 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Menurutnya, suspek yang dilihat dalam keadaan mencurigakan itu diberkas di hadapan sebuah kondominium bersama dadah jenis ganja seberat 8.5 kilogram.
"Serbuan kemudiannya dijalankan di sebuah unit kondominium berkenaan sebelum merampas 689 peket makanan ringan mengandungi ganja seberat 37.9 kilogram.
"Rampasan turut melibatkan bunga ganja (140.9 kg), cendawan mengandungi dadah (847g) dan cecair vape mengandungi campuran ganja dengan anggaran 80 mililiter," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.
Hussein berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan khidmat kurier bagi urusan penghantaran dadah.
"Kesemua dadah ini dipercayai dibeli secara dalam talian dan suspek kemudiannya turut menjual menggunakan platform sama untuk pasaran dalam dan luar negara.
"Suspek didapati bergerak secara solo dan menggunakan khidmat kurier untuk mendapatkan bekalan dan menjual dadah yang dibungkus ini," katanya.
Tambahnya, semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
"Suspek telah berkahwin serta memiliki dua anak ini dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah ini sejak setahun lalu.
"Kesemua dadah ini terdiri daripada pelbagai jenis dan bentuk, antaranya ada yang cecair untuk vape, makanan ringan seperti coklat kunyah serta coklat hitam dan beberapa jenis lain lagi," katanya.
Hussein berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas ini bernilai kira-kira RM6.2 juta dan polis turut menyita sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 bernilai RM76,000.
"Suspek kini direman enam hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!