Pemain JDT III perlu berikan aksi terbaik
PENGENDALI JDT III, Gonzalo San Zaballos mahu kesemua pemain beraksi sebaik mungkin dalam usaha memastikan kejayaan pada aksi Final ke-2, Piala Presiden 2024 berdepan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), pada Rabu.
Menurutnya, perkara berkenaan penting sebagaimana aksi yang dipamerkan pada aksi Final 1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 6 November lalu.
"Perlawanan kali ini ibarat aksi di 'separuh masa kedua' di mana semua pemain perlu berusaha keras untuk menyempurnakan tanggungjawab (permainan).
"Tiada istilah 'pemain harapan' atau 'ayam tambatan' dalam pasukan ini kerana kesemua pemain adalah penting dan saling memerlukan antara satu sama lain.
"Oleh itu, pemain diharap dapat mengekalkan sikap dan menikmati setiap detik perlawanan ini dalam usaha melakar kejayaan yang diharap-harapkan," katanya.
Untuk rekod, JDT III menang 2-1pada aksi Final 1, di Stadium MBPJ 6 November lalu.
Selaku juara bertahan, JDT III dilihat berpeluang untuk melakar hatrik kali ini setelah melakukannya pada musim 2022 dan 2023.
Sementara itu, Kapten JDT III, Irfan Shahkimi berkata, dia dan rakan-rakannya akan cuba memberikan aksi terbaik sekali gus membuka peluang untuk melakar juara buat kali ketiga berturut-turut.
"Alhamdulillah, pusingan pertama kita menang di MBPJ, di MBPG esok (Rabu), kita akan cuba sedaya upaya dan lakukan yang terbaik untuk malam esok," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!