Pengarah syarikat bergelar Datuk ditahan kemuka dokumen palsu kuota pekerja asing
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang pengarah syarikat bergelar Datuk kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan permohonan kuota pekerja asing untuk kelulusan Kementerian Sumber Manusia yang bernilai kira-kira RM 1.1 juta.
Sumber berkata, perintah reman selama enam hari sehingga Ahad dikeluarkan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali, selepas SPRM membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Selasa.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 40-an itu yang merupakan warga Bangladesh ditahan kira-kira jam 9 malam pada Isnin ketika hadir bagi memberi keterangan di SPRM Selangor.
"Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dengan mengemukakan dua permohonan kuota melibatkan seramai 600 pekerja asing oleh syarikat berkenaan, sedangkan pembekalan tenaga kerja bagi projek yang dikemukakan tidak wujud.
"Dua permohonan ini melibatkan pembayaran levi kira-kira RM650,000 dan RM460,000," katanya pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!