Pemimpin dunia berkumpul pada Sidang Kemuncak Iklim COP29 di Baku
KUALA LUMPUR - Sidang Kemuncak Pemimpin Dunia bagi Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP29) bermula pada Selasa di ibu kota Azerbaijan, Baku, lapor Agensi Anadolu (AA).
Dihoskan oleh Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev, pemimpin dunia berkumpul untuk sesi bergambar sebelum sidang kemuncak, termasuk Perdana Menteri Britain Keir Starmer, Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, Presiden Kyrgyzstan Sadyr Japarov, dan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, dan isterinya Emine Erdogan disambut oleh Aliyev dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres, di lokasi acara yang terletak bersebelahan dengan Stadium Olimpik Baku.
Erdogan berdiri di antara Aliyev dan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, untuk sesi bergambar, sebelum Sidang Kemuncak COP29 dimulakan secara rasmi.
Menurut Agensi Berita Emiriah (WAM), sidang kemuncak ini menekankan kepentingan pemimpin dunia untuk bekerjasama, meningkatkan cita-cita, dan melaksanakan tindakan untuk mengurangkan pelepasan karbon, menyesuaikan diri dengan perubahan iklim, serta menangani kerugian dan kerosakan akibat perubahan iklim.
Inisiatif ini bertujuan untuk melaksanakan dan mengubah keputusan penting berkaitan iklim kepada tindakan konkrit dan pelan yang boleh dipercayai dalam usaha memerangi perubahan iklim, berlandaskan pencapaian COP28 dan "Konsensus UAE".
Konsensus UAE termasuk komitmen luar biasa untuk beralih dari pada semua bahan api fosil dalam sistem tenaga dengan cara yang adil, teratur, dan saksama sepanjang dekad kritikal ini, membolehkan dunia mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050, seperti yang disarankan oleh bukti saintifik.
Ia juga menetapkan sasaran baru untuk meningkatkan tenaga boleh diperbaharui sebanyak tiga kali ganda dan menggandakan kecekapan tenaga menjelang 2030. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!