Akta ombudsman bendung masalah integriti perkhidmatan awam

Zairudin
Zairudin
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan ombudsman penting untuk menyelesaikan aduan berkaitan salah tadbir sistem penyampaian perkhidmatan awam terutama berkaitan masalah integriti dan rasuah.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, peranan ombudsman itu dapat memperbaiki ketidakcekapan, kelalaian, tatacara yang tidak jelas atau sikap seseorang pegawai.

“Ia juga merupakan salah satu langkah yang tepat bagi menangani rungutan pelbagai pihak terhadap penyelewengan dan kelemahan semua jabatan serta agensi.

“Sekiranya diluluskan, akta tersebut boleh mendengar dan menyiasat kes penyelewengan dengan lebih telus,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Pada Ahad, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya menyarankan kerajaan pusat untuk melihat keperluan pelaksanaan ombudsman di Semenanjung bagi membendung masalah ketirisan dalam pentadbiran.

Katanya, masalah tatakelola pentadbiran kini sukar untuk dibaiki ekoran perbuatan rasuah yang semakin membarah dalam masyarakat.

Dalam pada itu, Zairudin berharap pelaksanaan ombudsman dapat menjadi sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan karenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan pentadbiran di semua jabatan serta agensi kerajaan.

“Jika hendak dilaksanakan mestilah daripada satu badan yang benar-benar bebas mengamalkan konsep tidak memihak (impartial) dalam menguruskan aduan disalurkan oleh orang awam terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga tidak nafikan pelaksanaannya yang berkesan, telus, adil dan tidak berpihak dapat membantu negara kita mencapai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) lebih baik dalam masa 10 tahun,” ujarnya.

Menurut beliau, rakyat perlu diberikan pendedahan dan kefahaman agar mereka tahu kewujudan ombudsman serta dapat mengenal pasti saluran yang betul untuk membuat aduan.

“Maka, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama dengan Biro Pengaduan Awam (BPA) perlu mengadakan sesi libat urus secara berkala dan berterusan dengan pihak berkepentingan.

“Ia termasuk Ahli Parlimen, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dalam memuktamadkannya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!